Tuntutan Cuepacs kakitangan awam naik gaji sebelum PRU, ini penjelasan JPA

 

Tuntutan Cuepacs kakitangan awam naik gaji sebelum PRU, ini penjelasan JPA


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, contohnya pada 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) juga diberikan kepada penjawat awam.

“Penambahbaikan berterusan berhubung kebajikan penjawat awam merangkumi semakan saraan (gaji, elaun dan kemudahan) serta laluan kerjaya juga sedang dibuat secara holistik dengan mengambil kira kesesuaian dan situasi ekonomi serta kedudukan kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau mereka akan berpiket.

Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata, dasar berkaitan kebajikan penjawat awam seperti kemudahan bekerja dari rumah (BDR), waktu bekerja fleksibel, penambahbaikan kemudahan cuti seperti cuti jaga anak dikuarantin atau memerlukan pengasingan serta elaun, turut dipanjangkan kepada penjawat awam.

“JPA komited dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi keterangkuman Keluarga Malaysia,” katanya.

JPA juga kata beliau, sentiasa prihatin dan terbuka dengan pandangan semua pihak yang berkepentingan berkaitan kebajikan penjawat awam.

“(Ini termasuk dari) Majlis Bersama Kebangsaan (MBK), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan sesi konsultasi secara berterusan dengan agensi kerajaan dan kesatuan pekerja secara langsung dan tidak langsung,” katanya.


No comments: