PERLANTIKAN TENGKU ZAFRUL JADIKAN KLUSTER MENTERI AKHIRNYA DIIKTIRAF OLEH KLUSTER PWTC

 

Pelbagai tafsiran telah kedengaran berikutan keputusan melantik Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor yang baru.

Walaupun Tengku Zafrul dijadikan menteri oleh Mahiaddin Md Yasin ketika eranya sebagai Perdana Menteri, beliau sebenarnya adalah ahli UMNO sejak sekian lama.

Beliau sebelum ini menjadi ahli UMNO di sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan, tetapi kini difahamkan sudah berpindah ke Selangor.

Dengan kedudukan tersebut, Tengku Zafrul boleh dikategorikan sebagai sebahagian daripada kluster menteri daripada UMNO yang berada dalam kabinet.

Berikutan perlantikannya sebagai Bendahari BN Selangor yang dilihat sebagai usaha untuk UMNO menawan semula negeri itu daripada PH, apa yang terlihat ialah kluster mahkamah dan kluster PWTC yang menguasai UMNO kini telah mengiktiraf kluster menteri yang selama ini sebahagian daripadanya sering dikecam dan dimusuhi.

Meski ada yang mengatakan perlantikan itu bertujuan agar UMNO, sama ada di peringkat pusat atau Selangor, menjadi lebih mudah memperolehi dana pilihan raya melalui perolehan projek-projek daripada beliau selaku Menteri Kewangan, pengiktirafan terhadap kluster menteri itu memberi makna yang jauh lebih mendalam lagi.

Ia dengan sendirinya memperlihatkan Tengku Zafrul yang merupakan sebahagian kluster menteri dan dituduh sebagai wakil bank dalam kerajaan telah disucikan oleh kluster mahkamah dan kluster PWTC daripada pelbagai kecaman selama ini, terutama dalam isu pengeluaran RM 10 ribu KWSP dan moratorium ketika pandemik.

Tidakkah keadaan ini menjadikan penyokong kluster mahkamah dan PWTC kini telah kena tipu hidup-hidup oleh pemimpin mereka sendiri?

Tambahan lagi, perlantikan Tengku Zafrul itu turut mendapat pengiktirafan daripada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau menutup majlis Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, Ahad lalu.

Makna kata, penyokong setia kluster mahkamah dan PWTC lagilah dimalukan oleh pemimpin yang mereka puja selama ini.

Tambahan lagi jika Tengku Zafrul dalam PRU15 nanti dijadikan “poster boy” untuk menawan semula Selangor, maka dalam hal ini masihkah kluster mahkamah dan PWTC UMNO ingin terus memusuhi pemimpin daripada kluster menteri?

Mahu tidak mahu nampaknya, pemimpin daripada kluster menteri juga yang dijadikan sandaran dalam usaha untuk menawan Selangor.

Begitu pun, berikutan perlantikan Tengku Zafrul itu, bukan saja Mahiaddin telah kehilangan pemimpin yang sebelum ini dijadikannya menteri, malah kluster menteri akhirnya diakui kehebatannya oleh kluster mahkamah dan kluster PWTC UMNO. – ShahbudinHusin 02/08/2022.



No comments: