Anwar mahu RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dirujuk ke PSC

 


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, berkata mahu Rang Undang-
Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk
 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata cadangan tersebut dikemukakan melalui surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selaku ketua majlis Dewan Rakyat, petang tadi.

“Saya juga telah menghantar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 54(1) dan 54(2) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat (Azhar Harun) berkaitan perkara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam usul kepada Azhar, Anwar berkata, RUU itu perlu dirujuk kepada PSC antaranya bagi meneliti dan memberi pengkhususan ke atas isu keperlembagaan penguatkuasaan serta perkara berkaitan pelaksanaan kawalan produk tembakau dan merokok.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ads by Kiosked

“Keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Parlimen ini dicadangkan terdiri daripada sejumlah Ahli Dewan Rakyat yang mewakili semua parti dan diketuai oleh YB Menteri Kesihatan.

“Bagi tujuan tersebut di atas, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli-Ahli Parlimen, pakar-pakar perundangan dan perlembagaan, badan-badan bukan berkepentingan iaitu NGO dan masyarakat madani, masyarakat sivil serta individu-individu lain untuk hadir dalam persidangan,” katanya.

Semasa sesi perbahasan rang undang-undang itu, dua Ahli Parlimen senada dengan Anwar supaya ia dirujuk kepada PSC terlebih dahulu.

Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching), yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, berkata pihaknya bersetuju secara prinsip dengan RUU itu, namun berpendapat pelaksanaannya perlu diteliti dari pelbagai sudut selain kesihatan awam.

Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) pula berkata, beliau bersetuju dengan cadangan merujuk rang undang-undang itu kepada PSC bagi memperhalusi dan mempertimbang aspek lain termasuk perundangan sebelum diluluskan.

RUU berkenaan dibentang bagi bacaan kali kedua oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat, hari ini, antara lain menggubal peruntukan generasi penamat (GEG) bagi melindungi golongan muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok.

Ads by Kiosked

Khairy dijangka menggulung rang undang-undang itu untuk diundi semasa perbahasan disambung usai sesi soal jawab esok.

No comments: