'Rakyat tertekan, Ketua Puteri Umno jangan sibuk mahu pilihan raya dibuat sebelum PH kuat'

 



Kenyataan Ketua Puteri Umno Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan yang berharap Umno-BN segera membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sebelum Pakatan Harapan (PH) kembali kuat amat tidak bertanggungjawab.


Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail, kerja ahli politik bukanlah semata mata untuk mengekalkan kuasa tetapi yang paling utama menjaga kebajikan rakyat.


Katanya, jika hanya kembali berkuasa yang ditumpukan maka rakyat tidak wajar terus menyokong ahli politik seperti itu.


"Saya ingin menyatakan kenyataan beliau ini memperlihatkan dengan jelas kualiti kepimpinan yang ada dalam Umno. Dalam keadaan rakyat tertekan, mereka menggambarkan medan PRU itu sebagai asbab kepada jawatan dan habuan sebagai pemerintah.


"Kenyataan beliau saya labelkan sebagai bersifat angkuh dan inilah gambaran sebenar kepimpinan Umno, kerana mereka hanya mahu segera PRU 15 diadakan untuk mengaut keuntungan dan jawatan, bukan untuk menyuarakan atau membantu menyelesaikan isu rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tegas Siti Aishah, PH tidak pernah gentar untuk menghadapi PRU 15 namun permasalahan rakyat perlu diutamakan sebelum perhitungan politik pilihan raya dilakukan.


"PH bersedia bila bila masa untuk PRU 15 dan bersedia agar mandat rakyat dikembalikan. Cuma PRU bukan medan merebut tahkta negara agar mereka (Umno) boleh menyelamatkan pemimpin mereka yang korup dan meneruskan tradisi rasuah dalam kepimpinan.


"Zahida seharusnya lebih lantang menyuarakan permasalahan rakyat kepada kepimpimpinan mereka yang menjadi pemerintah ketika ini. Puteri Umno harus "ready" melawan kelemahan sistem pentadbiran kerajaan gagal agar hak dan kebajikan rakyat diutamakan.


"Kepada Puteri Umno jika Kamu "ready" rakyat lebih "ready" untuk menjatuhkan kerajaan yang korup," katanya lagi.