Usah ulangi tragedi Disember, segera bantu mangsa banjir, gesa Anwar

 


Banjir besar melanda Baling petang semalam menyebabkan beberapa
 rumah hanyut termasuk mengorbankan tiga nyawa di Kampung Iboi,
 Kupang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas bagi menyelamatkan mangsa yang terkesan dengan banjir di Baling, Kedah.

Beliau memberi amaran kepada Putrajaya agar tidak mengulangi kesilapan lalu dimana kerajaan didapati lambat bertindak dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir di Semenanjung pada Disember tahun lalu.

“Saya gesa tindakan pantas diambil bagi membantu mereka (di Baling) yang terkesan. Usah ulangi episod lalu di mana kerajaan gagal berfungsi dan lambat menyampaikan bantuan,” kata presiden PKR itu di Facebook.

Tragedi banjir Disember lalu membawa kepada kira-kira RM2.6 bilion kemusnahan dan kerosakan rumah penduduk, harta benda dan kenderaan, menurut Jabatan Perangkaan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kerajaan dikecam susulan perancangan dan tindak balas lemah terhadap bencana itu, yang menyebabkan lebih 50 nyawa terkorban. Banjir itu juga antara yang paling teruk melanda Lembah Klang.

Semalam, beberapa kampung di Baling terjejas akibat banjir yang kini meragut tiga nyawa.

Mayat tiga sekeluarga, termasuk seorang wanita hamil empat bulan ditemui pagi tadi selepas dihanyutkan arus deras di Kampung Iboi, Kupang petang semalam.

Seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara susulan hujan lebat semalam.


No comments: