Malaysia akan hadapi kenaikan harga beras pula?
Perang di Eropah yang berlanjutan dijangka akan mempengaruhi peningkatan harga beras biar pun negara yang berperang bukanlah pengeluar beras.
Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, berdasarkan All-Rice Index dari FAO harga eksport beras telah menunjukkan trend meningkat untuk bulan kelima berturut turut pada Mei 2022, yang berakibat daripada kekurangan petroleum, baja, gandum dan makanan.
Katanya, peningkatan harga makanan dengan itu akan pasti berlaku kerana perang di Eropah dijangka berlarutan untuk satu jangka masa yang agak panjang.
“Negara-negara yang bergantung kepada import beras untuk menambah pengeluaran tempatan hampir pasti akan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
“Dalam hal ini, adakah kita bersedia menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, ketika ini keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia ialah sebanyak 2.5 juta tan metrik. Manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70% dan baki 30% bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan.
Sekiranya perang berlarutan, kata Dr Tan, Malaysia bukan sahaja perlu menghadapi kenaikan harga tetapi juga kekurangan bekalan di pasaran.
Bagi beliau, terdapat keperluan untuk negara menampah stok beras sesegera mungkin sebelum terlambat.
“Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, simpanan beras negara ketika ini kira-kira 200,000 metrik tan. Dalam erti kata lain, stok beras hanya cukup memenuhi keperluan negara selama sebulan. Berbanding dengan Singapura yang mempunyai simpanan selama 3 bulan, simpanan beras Malaysia adalah terlalu rendah.
“Namun pengumpulan stok beras di Malaysia bergantung semata-mata kepada BERNAS yang mempunyai monopoli import beras dan mengawal hampir 50% daripada semua hasil beras di negara ini.
“BERNAS ialah Syarikat Tersenarai Awam yang berorientasikan keuntungan dan syarikat tidak ada kepentingan untuk menambah stok kerana wang tunai akan dikunci dalam stok.
“Oleh itu, memandangkan keadaan yang kritikal, kerajaan mesti bertindak menguatkuasakan peratusan minimum stok simpanan, yang tidak boleh kurang daripada 20% keperluan negara atau bekalan 2 bulan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Tan mencadangkan agar kerajaan mengurangkan tekanan bekalan dan harga beras dengan meningkatkan sumber bekalan.
Kerajaan juga, katanya, mesti menangguhkan monopoli BERNAS dalam pengimportan beras untuk tempoh kritikal ini jika tidak dapat menamatkan konsesi yang diberikan kepada BERNAS dengan serta-merta.
“Peniaga beras harus dibenarkan mengimport dan mendapatkan bekalan mereka sendiri dari negara-negara berbeza secara bebas.
“Dengan persaingan dan lebih banyak kuantum kenaikan harga beras import tidak lagi ditentukan oleh BERNAS sahaja dan pengguna akan kurang terjejas dengan kenaikan harga di pasaran dunia.
“Meliberalisasikan import beras juga akan membantu meningkatkan stok simpanan kita,” katanya.
Dr Tan memberi contoh Malaysia boleh mempelajari Skim Simpanan Beras Singapura yang memerlukan semua pengimport berlesen mengekalkan kuantiti setara dengan import dua bulan di gudang kerajaan sebagai simpanan.
Katanya, pengimport beras tempatan boleh melakukan perkara yang sama sebaik sahaja import beras diliberalisasikan.
Selain itu, kerajaan juga dicadangkan untuk mendapatkan semula pemilikan BERNAS bagi merancakkan pengeluaran beras tempatan.
“Kita kehilangan banyak tanah padi akibat banjir serta pembangunan perumahan dan perindustrian kerana aktiviti menanam padi tidak menguntungkan.
“Apabila BERNAS dikorporatkan pada 1966, pemegang saham utama adalah agensi kerajaan yang berkaitan dengan penanaman padi.
“Ia bertujuan memastikan keseimbangan beras import dan hasil tempatan bagi melindungi kepentingan penanam padi.
“Keuntungannya adalah untuk meningkatkan pembangunan penanaman padi dengan matlamat utama untuk mencapai sara diri dalam beras,” katanya.
Namun hal itu dakwanya, mungkin bukan keutamaan BERNAS yang merupakan sebuah syarikat swasta sepenuhnya ketika ini
Oleh itu, menurut Dr Tan, negara tidak boleh mengharapkan BERNAS dengan pemilikannya sekarang untuk membantu mempromosikan pengeluaran beras tempatan.
“Hari ini harga bagi kedua-dua beras import dan tempatan hampir ditentukan oleh BERNAS, sebuah syarikat swasta yang mementingkan keuntungan.
“Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam soal sara diri beras, dan mengawal kenaikan harga beras, kerajaan mesti mendapatkan semula kawalan ke atas beras import, mengambilalih pengurusan subsidi kepada petani daripada BERNAS dan perolehan beras daripada petani,” kata Dr Tan lagi.