Siti Aishah tekad bawa KEADILAN keluar dari politik kabilah

 


Politik kabilah telah berakar dalam KEADILAN sejak beberapa siri pemilihan lalu dengan pelbagai gelaran diberikan kepada kumpulan yang mengamalkannya.



Sehubungan itu calon Naib Ketua Wanita pusat, Siti Aishah Shaik Ismail bertekad untuk mengeluarkan parti daripada budaya politik yang tidak menguntungkan itu.



Katanya, tidak boleh wujud pasukan tertentu dalam parti dan akan menyebabkan peringkat bawahan tidak mengambil arahan daripada pemimpin puak berlainan



"Pemilihan kali ini ialah pemilihan yang perlu dianggap sebagai persiapan kepada maksud tujuan asal parti politik iaitu pilihan raya umum. Setelah sekian lama kita berjuang dan membina semangat bersama, pasti apa yang pernah berlaku adalah satu tempoh yang amat sukar untuk dilupakan.



"Menginsafi bahawa perlu ada timbal balik dalam politik maka kali ini saya menawarkan diri untuk bersama akar umbi bagi menjadi pasukan yang bukan sekadar benteng semata-mata tetapi tentera yang berjuang bersama sehabis tekad dan usaha bagi memastikan mandat yang sebenarnya dicapai dengan sebaiknya.



"Saya mahu membawa Wanita KEADILAN keluar dari politik kabilah, yang pastinya membuatkan kita nampak lemah, tidak utuh dan terkebelakang.



"Politik itu kerja berpasukan menguatkan yang lemah dan menterjemahkan segala kekuatan itu di medan yang betul," katanya.



Menurut beliau lagi, tiba masanya wanita baik di peringkat pusat mahupun akar umbi dipersiapkan sebaiknya bukan sahaja sebagai jentera namun sebagai pemimpin yang bakal menggalas tugas sekiranya Pakatan Harapan diizinkan memerintah dalam pilihan raya akan datang.



"Wanita bukan lagi perlu jadi "option" tetapi wajib untuk mengisi keperluan jawatan di peringkat akar umbi dan institusi-institusi yang ada dengan baik dan cemerlang.



"Menempatkan diri saya dalam barisan kepimpinan wanita sebagai Calon Naib Ketua Wanita hanya sebagai asbab untuk saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih fokus.



"Dengan rendah diri saya menawarkan khidmat dan bakti saya kepada parti dan Wanita dan kita bina rumah ini bersama agar ia menjadi satu lonjakan untuk semua dan menjadikan Wanita KEADILAN disegani oleh lawan dan kawan," katanya lagi.