MENYUSAHKAN CIKGU-CIKGU DENGAN TUGASAN TIDAK BERKAIT DENGAN MENGAJAR..

POSTED BY

AMIRUDDIN AHMAD


Menyusahkan cikgu-cikgu dengan tugasan tidak berkait dengan mengajar adalah amalan yang tidak masuk akal di Finland. Guru dilatih untuk menjadi pakar dalam mengajar, maka mengajarlah yang diberi keutamaan tertinggi pada menghargai kepakarannya.

Antara perkara yang memudahkan kerja cikgu-cikgu di Finland ialah:
WILMA
1. Melalui sistem dalam talian WILMA, ibu bapa mengemas kini sendiri maklumat anak, pertukaran alamat rumah, nombor telefon, emel, menyatakan persetujuan anak boleh guna peranti sendiri atau tidak, dan sebagainya. Ibu bapa yang buat kerja-kerja ini, bukan guru. Sebahagian persatuan ibu bapa mengambil inisiatif bertanya khabar sesama ibu bapa jika ada yang bermasalah mengisi maklumat seperti ini.
2. Melalui sistem dalam talian WILMA, ibu bapa memaklumkan ketidakhadiran anak ke sekolah. Maklumat mesti sebelum jam 12 tengah hari pada hari murid tidak hadir.
3. Melalui sistem dalam talian WILMA, ibu bapa membuat permohonan cuti anak jika anak akan bercuti lebih daripada tiga hari.
4. Melalui sistem dalam talian WILMA, guru memasukkan secara rutin harian, pentaksiran bilik darjah (PBD) dan ibu bapa secara otomatik mendapat notifikasi.
5. Melalui sistem dalam talian WILMA, guru dan ibu bapa berkomunikasi mengenai hal anak.
6. Sebanyak mungkin, semua urusan yang boleh diselesaikan di WILMA, ia dimaksimumkan, agar guru tidak terganggu.
TELEFON KERJA
Guru-guru di Finland mempunyai telefon pintar khas untuk kerja, yang digunakan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa pelajar. Telefon berkenaan ditutup selepas habis waktu pejabat. Ibu bapa tidak boleh menghubungi guru menggunakan nombor peribadi guru, atau nombor kerja, di luar waktu kerja rasmi.
SEKOLAH TIDAK MENJALANKAN AKTIVITI KO KURIKULUM
Aktiviti 'ko kurikulum' berlaku dalam masyarakat Finland di luar sekolah. Pelajar memilih sendiri aktiviti sukan, seni mempertahankan diri atau apa sahaja aktiviti, melalui kelab-kelab di lokasi masing-masing, atau melalui aktiviti yang disediakan oleh City Council. Ia tidak sama sekali membabitkan guru dan sekolah. Tetapi guru akan merekodkan di WILMA apakah aktiviti pelajar selepas habis persekolahan, untuk memantau gaya hidup supaya sihat dan seimbang. Oleh itu, guru tidak ada memegang potfolio-potfolio yang tiada kena mengena dengan tugas mengajar. Aktiviti kecil-kecilan yang ada di sekolah adalah atas inisiatif guru dan sekolah itu sendiri.
RPH (LESSON PLAN) HANYA UNTUK KEGUNAAN PERIBADI
Guru-guru di Finland menyediakan rancangan pengajaran harian hanya untuk kegunaan peribadi dan tidak sama sekali untuk direkod, diperiksa, atau dinazir.
SIFAR PENAZIRAN
Penaziran telah dihapuskan semenjak akhir 1970-an di Finland. Bukan kerana guru ketika itu telah boleh dipercayai. Tetapi kerana Finland mahu guru-gurunya boleh dipercayai. Caranya adalah dengan mempercayai guru, dan menghapuskan penaziran yang ternyata tidak menyumbang kepada peningkatan kualiti guru mengajar atau murid belajar.
TIADA PUNCH CARD
Sekolah-sekolah di Finland tidak merekodkan pukul berapa guru tiba di sekolah dan pukul berapa meninggalkan sekolah. Guru bebas untuk datang pada pukul berapa dan balik pada pukul berapa, bergantung pada jam berapa guru berkenaan mempunyai kelas yang perlu dikendalikannya.
KERJASAMA PIBG
Jika ada aktiviti rombongan sekolah, atau apa-apa aktiviti tambahan yang ingin dilakukan, ibu bapa menjalankan fundraising dan lain-lain untuk menjayakannya dan hanya memaklumkan kepada guru apabila perlu.
ADAKAH CIKGU DI FINLAND RELAKS?
Tidak juga.
Murid masih ramai di dalam kelas.
Guru sibuk kerana guru mengambil kira setiap individu murid semasa merancang pengajarannya. Keperluan setiap individu murid, kelebihannya, masalah pembelajarannya, kesihatan fizikal dan mental, isu di rumah, ada di dalam pengetahuan kebanyakan guru. Maklumat itu mempengaruhi differentiation dan personalisation yang guru lakukan semasa merekabentuk pembelajaran murid.
TAKE HOME NOTE
Hal ini sistemik. Saling berkait antara satu sama lain. Kementerian perlu menukar cara fikir, cara pandang, cara kerja, cara nilai, dan serba serbinya, untuk mengubah perkara ini.
Kepenatan dan beban kerja guru yang bukan berkaitan tugas hakikinya tidak kelakar.
Ia jenayah dan khianat terhadap profesyen perguruan.
Ia mensesiakan tenaga, masa dan kepakaran guru, membazir wang dan masa yang dibelanjakan untuk menyediakan seorang guru, dan membazir itu amalan syaitan.

No comments: