Ada pihak tertentu dalam PH nampaknya masih tak habis-habis bercakap soal khemah besar dan mahukannya jadi kenyataan, walaupun sambutan daripada pihak yang ingin dijemput itu kelihatan agak dingin.
Kecuali Bersatu yang tampak ada sedikit respon dengan Presidennya, Mahiaddin Md Yasin menyatakan terbuka untuk berunding, tetapi Pas yang merupakan rakan sekutu dalam PN, terang-terang menolak untuk bekerjasama dengan PH.
Sepatutnya dengan penolakan Pas itu, malah DAP melalui kenyataan Anthony Loke dan Amanah menerusi kenyataan Mohamad Sabu, kedua-duanya juga enggan bekerjasama dengan Pas, soal khemah besar itu tidak lagi diperbincangkan kerana sudah layak dikuburkan dalam hutan di hujung kampung.
Lebih daripada itu, Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR juga menegaskan, pihaknya tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenai khemah besar.
Tak reti-reti bahasa lagi ke?
Kalau khemah besar itu hanya untuk membawa Pejuang, Warisan dan Muda ke tempat perteduhan PH, ia sebenarnya tidaklah cukup besar dan mampu menggugat sesiapa, bahkan tiada siapa pun yang tergugat dengannya.
Tetapi, mengapakah pemimpin tertentu dalam PH masih lagi tergila-gilakan dengan khemah besar?
Tak yakinkah mereka mampu menang di kerusi yang dipegang sekarang jika berlaku pertandingan tiga penjuru?
Atau air sudah naik ke kepala dan tak sabar lagi nak jadi menteri semula?
Jika dilihat dalam dua PRN sebelum ini – Melaka dan Johor – meskipun PH memiliki bilangan Ahli Parlimen paling ramai berbanding BN dan PN iaitu 90 orang, namun kedudukan dari segi sokongan pengundi meletakkannya hanya di tempat ketiga saja.
Sebaliknya, BN dengan jumlah Ahli Parlimen seramai 43 orang (UMNO, MCA, MIC dan PBRS) telah menjadi pilihan pengundi dan memenangi kedua-dua PRN itu dengan majoriti dua pertiga.
Yang lebih malang, PN yang mempunyai 50 Ahli Parlimen (Bersatu, Pas, Star) telah menduduki tempat kedua dari segi sokongan pengundi dan berjaya menewaskan PH.
Jadi, di mana silapnya?
Apakah 90 Ahli Parlimen PH itu tidak berfungsi untuk mendekati dan menarik sokongan rakyat?
Apakah juga Ahli-Ahli Parlimen PH yang pernah menjadi menteri dan timbalan menteri selama 22 bulan sebelum ini tiada upaya menunjukkan kebaikan dan sumbangan mereka ketika memegang jawatan dahulu yang boleh dikenang oleh rakyat?
Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin PH yang sekarang siang malam bercakap soal khemah besar, sebelum bercakap mengenainya, eloklah fikir panjang-panjang dulu.
Yang paling utama ialah bekerjasama dengan mereka yang pernah khianat dan menjadi pengkhianat hanya akan akan menyebabkan rakyat lebih membenci dan menolak PH.
Tidak kira pengkhianat yang ada dalam PN atau yang bersepah-sepah dalam parti kecil lain, mereka itu tidak layak diberi nyawa lagi, sebaliknya harus “dimatikan” dalam PRU15 akan datang supaya politik negara lebih aman dan tenteram.
Lagi pun, bekerjasama dengan mereka itu hanya akan mengundang perbalahan awal dari segi pembahagian kerusi dan siapa calon Perdana Menteri sebelum masuk ke medan pertempuran PRU15.
Kalau UMNO yang bekerjsama dengan Bersatu dan Pas dalam kerajaan sekarang pun tidak mahu bekerjasama dan tidak mempercayai kedua-dua parti itu dalam menghadapi PRU15, apakah PH tidak insaf dan tiada rasa malu untuk berbaik dengan mereka?
Benarlah memaaf dan melupakan kejadian lama itu sesuatu yang baik, tambahan atas semangat Ramadan atau Syawal, tetapi adakah orang yang kita ketahui jahat boleh dibawa masuk ke dalam rumah atau sebaiknya kita hanya bertegur sapa dengannya di kedai kopi saja?
Untuk itu, kepada pihak tertentu dalam PH, lebih baiklah lupakan khemah besar dan tumpukan segala tenaga yang ada mulai sekarang, khusus dengan 90 Ahli Parlimen dan dua kerajaan negeri yang dipegang, bagi benar-benar memperjuang dan mendekati rakyat.
Tidak guna siang malam bercakap soal khemah besar, tetapi malas memperjuangkan nasib rakyat sehingga Husam Musa yang kebelakangan ini aktif membongkar isu pembalakan di Kelantan turut mengekuh dengan berkata, partinya sendiri tidak berbuat apa-apa untuk melakukan semak dan imbang yang sewajarnya.
Itu baru di Kelantan, di negeri-negeri lain juga, jika kita perhatikan, perjuangan mengangkat isu rakyat hampir tidak kelihatan dan tenggelam dengan kesibukan mahukan khemah besar yang lebih dilaung-laungkan.
Jika untuk berjuang dan memayungi nasib rakyat, khemah kecil pun tiada masalah sebenarnya kerana BN daripada 14 parti komponen di dalamnya dan sekarang hanya tinggal 4 pun masih boleh bangkit, kenapa PH dengan mempunyai 90 Ahli Parlimen masih menjadikan segelintir daripadanya tergedik-gedik dengan khemah besar?
Khemah besar – untuk memayungi nasib rakyat atau bagi meneduhkan diri sendiri? – ShahbudinHusin 28/04/2022.