Dipilih jadi calon PM bagi PRU15, PAS harap Ismail teruskan agenda perpaduan
PETALING JAYA: PAS menyokong keputusan Umno memilih Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya akan datang dan berharap Ismail dapat meneruskan agenda perpaduan yang dipeloporinya.
Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata, agenda perpaduan bawah Ismail terbukti berjaya mewujudkan kestabilan dan iklim politik yang baik.
“PAS menyambut baik keputusan Umno mencadangkan agar Ismail sebagai calon perdana menteri Malaysia selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya dalam kenyataan.
“Buat masa ini, PAS mendukung serta menyokong penuh kepimpinan perdana menteri ke-9 ini dan mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.”
Selain itu, Takiyuddin berkata, pendekatan itu pastinya akan disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara.
“PAS juga yakin Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan pembangkang yang terpakai sehingga pembubaran Parlimen akan terus membantu proses pemulihan negara bawah kepimpinan Ismail dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial serta kehidupan rakyat,” katanya lagi.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara mencadangkan Ismail, yang juga salah seorang naib presiden parti itu, sebagai calon perdana menteri pada PRU15.