Tak mustahil MoU dilanjut, kata pemimpin PKR


Masih terdapat 4 perkara yang masih belum dilengkapkan bawah MoU antara PH dan kerajaan pusat, menurut Fahmi Fadzil. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Walaupun Umno membidas kemungkinan melanjutkan memorandum persefahaman (MoU), seorang pemimpin PKR berkata, “tidak mustahil” ia dilanjutkan.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan MoU antara kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan dilanjutkan selepas ia berakhir Julai ini.

Sebagai respons, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengingatkan Umno bahawa MoU itu adalah antara PH dan kerajaan pusat, bukan dengan parti individu dalam kerajaan.

Fahmi berkata, pada masa ini, terdapat empat lagi perkara dalam MoU yang perlu dilaksanakan menjelang 31 Julai, iaitu undang-undang anti-lompat parti, penggal 10 tahun jawatan perdana menteri, pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen, dan pindaan Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Fahmi Fadzil.

“Seperti yang kita lihat dengan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti, beberapa parti dalam kerajaan meminta lebih masa dan Jawatankuasa Pemandu MoU mengemudi isu ini.

“Jika mana-mana daripada empat perkara itu masih tidak dilengkapkan menjelang 31 Julai, mungkin tidak mustahil untuk PH dan kerajaan pusat untuk menilai sama ada MoU itu perlu dilanjutkan, ditamatkan, atau MoU yang baharu diwujudkan,” katanya kepada FMT.

Charles Santiago.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago memuji MoU itu kerana membantu melaksanakan RUU anti-lompat parti dan Undi 18, antara lainnya.

“MoU itu telah memberi ruang kepada negara untuk terus maju. Anda boleh lihat kejayaan (di kedua-dua belah pihak). Ini menunjukkan bahawa politik tidak dikuasai oleh ketakutan dan kedua-dua pihak bekerjasama untuk mendorong perundangan.

“Kita perlu terima bahawa terdapat unsur positif dalam perkara ini tetapi sesetengah ahli Umno tidak mahu kejayaan ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Umno untuk tidak melanjutkan MoU itu.

“Mereka mendesak agar pilihan raya diadakan awal. Jadi, saya rasa tidak mengejutkan bahawa mereka tidak mahu melanjutkan (MoU),” katanya kepada FMT.

William Leong.

Leong percaya bahawa keputusan Umno hanya dibuat untuk memberi lebih tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya awal.

Tambahnya, walaupun PH lebih suka pilihan raya umum akan datang (PRU15) diadakan lebih lewat, pakatan itu faham bahawa sebagai pembangkang, keputusan mengadakan pilihan raya dalam tangan kerajaan dan mereka perlu bersedia, sama ada suka atau tidak.

No comments: