#Ipoh Bomba mengesahkan bilangan mangsa tertimbus dalam
kejadian runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, hari ini
meningkat kepada dua orang berbanding seorang yang dilaporkan sebelum ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak,
mengesahkan perkara itu setakat jam 1.11 tengah hari tadi.
"Berdasarkan maklumat terkini, terdapat empat mangsa dalam
kejadian ini. Dua mangsa dapat menyelamatkan diri manakala dua lagi masih
tertimbus di bawah runtuhan batu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang hilang dipercayai tertimbus
runtuhan di kuari berkenaan manakala seorang dilaporkan cedera parah, selain
dua mangsa sempat menyelamatkan diri dalam insiden kira-kira jam 9.40 pagi itu.
Sementara itu, seorang daripada dua mangsa tertimbus berkenaan
dikenali sebagai Itam Balasoh, 43, lelaki Orang Asli bekerja sebagai pemandu
jengkaut di kuari berkenaan.
Isteri mangsa, Wak Uda Bahkim, 41, ketika ditemui di lokasi
kejadian, berkata dia mendapat berita kejadian yang menimpa suaminya daripada
bapanya, Bahkim Kipak selepas dimaklumkan rakan sekerja suaminya.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan suami adalah
kira-kira 7 pagi tadi di rumah mereka di Kampung Jelintuh, Gopeng sewaktu
menyediakan sarapan pagi sebelum suaminya kemudian pergi ke tempat kerja
menaiki motosikal.
"Ketika diberitahu sesuatu menimpa suami, saya bersama adik
dan bapa mentua bergegas ke sini tanpa saya mengetahui apa sebenarnya yang
berlaku.
"Sebelum tiba di lokasi baharu saya diberitahu yang suami
tertimbus runtuhan batu. Suami bekerja di sini sebagai pemandu jengkaut sejak
kira-kira dua tahun lalu, " kata ibu kepada empat anak berusia antara dua
hingga 15 tahun itu.
Seorang pekerja kuari berkenaan dikenali sebagai Razali yang
berada di lokasi sewaktu kejadian, berkata dia dikejutkan bunyi letupan tetapi
berbeza bunyi letupan kuari yang biasa didengari.
"Bunyi macam letupan kedengaran hanya sekali, dalam hati
ini apabila menyaksikan runtuhan sebegitu hanya memikirkan kawan (mangsa) yang
berada di bawah berhampiran lokasi itu," katanya.
Difahamkan, ketika ini pasukan mencari dan menyelamat (SAR)
masih menunggu 'lampu hijau' dari Jabatan Mineral dan Geosains sebelum
memulakan operasi, susulan terdapat risiko kebarangkalian adanya runtuhan
susulan.
Sumber: Harian
Metro