FASA ENDEMIK BERMULA 1 APRIL, TERIMA KASIH PERDANA MENTERI!!


 Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob petang tadi mengumumkan, bermula 1 April, negara akan memasuki fasa endemik Covid19.

Antara perubahan yang diumumkan adalah:-

• Kedai makan dibenarkan beroperasi selepas jam 12 tengah malam

• Sembahyang jemaah di masjid serta surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat agama boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal 

• Tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk kegiatan yang melibatkan perkumpulan orang ramai

• Perjalanan rentas negeri dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi

• Sempadan negara turut dibuka mulai 1 April dan rakyat dibenarkan pergi ke mana-mana negara yang telah membuka sempadannya.

Namun demikian, menurut Ismail Sabri, pelaksanaan SOP akhir untuk masjid/surau masih tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, manakala untuk rumah ibadat selain Islam ianya tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Di fasa endemik juga dimaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka dan pendaftaran menggunakan aplikasi mysejahtera kekal diwajibkan, tetapi tidak untuk tempat terbuka.

Dengan pengumuman dan kelonggaran SOP dalam fasa endemik bermula 1 April depan, bermakna ini adalah berita baik bagi umat Islam yang bakal menyambut bulan puasa pada 3 April nanti.

Daripada masih kedengaran ada kebimbangan tentang kemungkinan SOP diperketatkan lagi menjelang Ramadan dan Syawal ini berikutan angka kes Covid19 dilihat terus meningkat serta mungkin balik kampung menyambut Aidil Fitri tersekat sekali lagi, sebaliknya fasa kehidupan normal sudah mula kembali semula.

Fasa endemik ini adalah berita gembira buat kita semua.

Terima kasih Perdana Menteri!! – ShahbudinHusin 08/03/2022.



No comments: