Sekadar momokan, DAP ‘hantui’ Melayu boleh diatasi dengan strategi betul, kata Salahuddin

 

Salahuddin Ayub berkata, rakyat perlu diberi penjelasan bahawa DAP bukan ancaman kepada orang Melayu atau Islam, malah pemimpin Umno-DAP sudah boleh duduk semeja membincangkan isu negara.

BAKRI: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengakui orang Melayu masih dihantui dan “takut” dengan sekutu Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP, namun masalah itu boleh diatasi jika diberi masa dan dengan menggunakan pendekatan dan strategi betul.

Katanya, DAP kini seolah-olah menjadi “momok” kepada orang Melayu selepas diburukkan oleh parti tertentu sehingga masyarakat itu takut kepada pembangkang.

“Kita mesti jelaskan kepada rakyat tentang DAP ini. Ia bukan ancaman kepada orang Melayu, bukan ancaman kepada Islam.

“Kita kena sabar dan ambil masa. Dengan adanya penerangan, kempen serta pendekatan politik yang kita laksanakan, satu hari nanti orang Melayu boleh terima DAP,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, untuk orang Melayu menerima DAP bukanlah sesuatu yang mustahil. Malah beliau memberikan contoh pemimpin Umno dan DAP yang sebelum ini susah duduk semeja untuk berunding isu rakyat namun kini boleh bersama.

“Sebenarnya di belakang tabir, di Parlimen, kita buat kerjasama. Sebenarnya pemimpin Umno-DAP sudah boleh duduk semeja bincang tentang isu negara,” katanya.

3 ADUN Amanah lompat sertai PKR bukan katak, pelacur politik

Dalam perkembangan lain, mengulas sama ada tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Amanah menyertai PKR tahun lalu mengguris hati penyokong parti itu, Salahuddin menganggap bekas wakil rakyat itu bukan katak politik.

Katanya, walaupun tiga wakil rakyat Senggarang, Serom dan Mahkota itu meninggalkan Amanah, namun mereka kekal setia bersama blok pembangkang (PH) di Johor.

“Itu bukan lompat katak. Lompat katak ini mereka jual kerusi untuk jatuhkan kerajaan. Bila berlaku lompat katak, jadi pelacur politik, yang kalah jadi kerajaan yang menang jadi pembangkang,” katanya merujuk kepada wakil rakyat Bersatu dan segelintir daripada PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton menyebabkan kerajaan PH tumbang.


No comments: