Pembangkang perlu bersatu kalau mahu Menang PRU15.


Sikit pun aku tak nafikan. Cuma, kita berjuang untuk perubahan atau semata-mata untuk menang PRU? Kalau untuk perubahan, kemenangan jatuh nombor 2. Prinsip jadi keutamaan. Kalau menang, itu bonus

Dulu aku sendiri pun percaya, kalau nak perubahan, kita mesti memerintah. Tapi selepas PH menang PRU14, aku mulai sedar. Kalau menang pun tapi bersama pihak yang salah, kita sebenarnya kalah.

Tengok berapa banyak perubahan PH dapat buat semasa memerintah dengan Mahathir sebagai ketua? Memang ada tapi yang kecil saja. Reformasi hanya separuh hati. Dibuat secara sambil lewa.

Sebagai pembangkang pun kita masih boleh jana perubahan. Asal saja kita berusaha untuk mencipta anjakan paradigma di minda rakyat. Kemenangan akan menyusul selepas minda rakyat diperbetulkan.

Jadi komentar yang mengatakan PH perlu bekerja sama dengan pihak lain termasuk PN (nota: PN bukan pembangkang), aku tak dapat lagi menerima idea yang sebegitu. Cukuplah sekali buat kesilapan.

Nak bekerjasama dengan PN, Pejuang, Warisan dan Muda boleh saja. Tapi cuba lihat tingkah mereka. Kalau mereka pun korup, dan terus korup setelah menang nanti, nama PH sendiri akan tercemar.

Contohnya isu Sosma. PPBM menyokong Sosma. Mahathir sendiri dulu pencinta ISA. Kalaulah PH memerintah bersama PN, dapatkah PH hapuskan akta zalim itu nanti? PPBM akan beri sokongankah?

Itu belum cerita soal pengkhianatan. Ya, mungkin PH akan menang. Mungkin dapat tewaskan BN. Tapi kemudian kemenangan diserahkan kepada BN kerana ideologi mereka lebih mirip, bagaimana?

Dah terjadi kan masa PH memerintah dulu? Atau paling tidak pun, PH akan hilang arah. Reformasi jadi basi kerana ditolak gabungan sendiri. Akhirnya PH yang dicaci maki. Itukah yang kita mahukan?

Lebih baik PH bergerak sendiri. Dan kalau Amanah serta DAP mahukan khemah besar, biarlah Keadilan bergerak solo. Kalah itu pasti tapi setidaknya masih bermaruah dan masih memegang kukuh prinsip.

Sejarah telah membuktikan. PH menang PRU14 tapi gagal laksanakan Reformasi kerana dihalang ketua sendiri, akibatnya PH jadi lebih hancur dan musnah teruk dan sehingga kini, kesannya masih terasa.

Kalau pemimpin PH memang gilakan kemenangan, teruskanlah bersama pengkhianat dan penjahat itu. Tapi bila agenda reformasi tak berjalan, percayalah aku kata, PH hanya akan tinggal debu. Guane boh?

Raja Gelap

 

No comments: