Pasca PRN Johor: Mood pengundi Cina berubah, PH perlu ubah strategi?



Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru baru ini disebabkan perubahan arah sokongan dalam kalangan semua kaum.



Meskipun PH menerima undi kurang memberansangkan dari kaum Melayu yang mereka dapat sekitar 27% pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu dan kali ini kurang 10%, namun pengundi Cina juga didapati telah beralih arah dengan mengurangkan sokongan terhadap PH.



Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, trend peralihan undi Cina itu turut berlaku dalam kalangan pengundi muda, sama ada pada usia 18 atau 21 tahun.



"(Berdasarkan kajian) dalam PRU 14 etnik Cina memberi undi kepada PH sehingga 89% tetapi dalam PRN Johor mereka hanya memberi undi 69%. Kejatuhan sekitar 19%



"Ini adalah satu peralihan agak besar menuju PRU 15, yang ada waktu lagi untuk gerakan lain dilakukan. Bagaimanapun ini memberi kesan besar kepada kerusi di kawasan bandar, contohnya kawasan bercampur majoriti Melayu tetapi ada pengundi Cina agak besar.



"Ini menyebabkan MCA boleh menempatkan diri sebagai pemenang," katanya dalam forum maya mengupas peralihan sokongan etnik Cina dalam PRN Johor terbitan Sumberkini, malam tadi.



Berdasarkan kajian yang dilakukan, menurut Prof Yusri, anak muda Cina didapati lebih memikirkan masa hadapan mereka berbanding isu lain, terutama peluang mendapat pekerjaan dan ekonomi pasca pandemik Covid 19 yang diterjemahkan sebagai undi pada 12 Mac lalu.



"Bila kita tanya, mereka beritahu tentang masa hadapan, yang mereka sedang fikir, sedang mereka bimbang adalah ekonomi, iklim perniagaan dan peluang pekerjaan. Tetapi PH masih lagi kempen berkenaan integriti, isu rasuah, pentadbiran telus, kluster mahkamah dan sebagainya.



"Kempen itu bagi sebahagian anak muda Cina mereka 'tak masuk'. Undi 18 juga, anak muda sekitar umur 20 tahun ada sedikit behavior untuk bergerak kepada BN berbanding PH," katanya.



Mengenai pertanyaan moderator mengenai trend kemerosotan undi Cina kepada PH berdasarkan beberapa siri PRN, Dr Yusri menjelaskan, isu yang menyebabkan dampak kemerosotan itu berbeza beza.



Katanya, di Melaka terdapat isu beberapa ahli politik BN yang melompat diterima PH sebagai calon, manakala di Johor mengikut kajian lebih kepada isu logo bersama yang tidak digunapakai.



Bagaimanapun, kata Yusri, hal itu tidak menunjukkan secara muktamad pengundi Cina sudah tidak lagi terkesan dengan isu isu tatakelola pentadbiran, jenayah pemimpin BN dan sebagainya.



Cuma pada PRN, kata Dr Yusri, settingnya berlainan. Katanya, pengundi tidak lagi mahu dibawakan isu yang mereka telah buat keputusan dalam PRU lalu. Pada PRN mereka hendak tengok polisi ekonomi, kos sara hidup, harga barang dan beberapa isu tempatan lainnya.



Namun, Dr Yusri mengingatkan BN agar tidak terlalu yakin diri setelah memperolehi kemenangan besar kerana dalam PRU 15 sokongan Cina mungkin berubah kembali.



"Orang mengundi PRN, PRK lebih kepada isu setempat. Yang mengundi kerana agenda reformasi dan sebagainya kadang kadang menjauhkan diri. Mereka tak balik, tak keluar mengundi, etnik Cina beralih sedikit kepada BN



"Tetapi ini bukan bersifat kekal. Dalam kajian kami etnik Cina mereka betul betul mengundi secara strategik, iaitu apa yang mereka mahu capai.



"Apa sahaja yang berlaku menjelang PRU 15 boleh merobah sikap pengundi Cina asalkan PH boleh menawarkan kepada kelompok ini (sesuatu yang bagus). Saya tidak terkejut sekiranya mereka kembali kepada PH.



"Sebab PRU akan menentukan jatuh bangun negara, soal ekonomi, pelaburan dan sebagainya. (Dalam PRU) sama ada PH atau BN, siapa yang memberi tawaran terbaik, tidak lagi meratib perkara yang telah diketahui umum, saya tidak terkejut kalau etnik Cina kembali undi PH.



"Tetapi saya juga tidak terkejut jika BN tawar yang terbaik, mereka akan undi BN," katanya lagi.