PH umum 2 lagi calon PRN Johor

 

Pengumuman calon PRN Johor DUN Mengkibol dan Mahkota diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan dua lagi calon bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor iaitu masing-masing daripada DAP dan Amanah.

Menurut laporan Kosmo, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Chew Chong Sin akan mempertahankan kawasan itu, manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman berpindah ke DUN Mahkota.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu majlis di Kluang, hari ini.

Semalam, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dinamakan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Paloh yang dimenangi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Chew menang 29,559 undi di DUN Mengkibol dalam PRU14 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chin Sim Lai yang hanya mendapat 10,333 undi.

Taqiuddin pula mengatasi Tee Siew Kiong dari BN dengan majoriti 3,395 di Pulai Sebatang yang terletak dalam Parlimen Pontian.

Sebelum ini, kerusi Mahkota disandang ADUN Amanah, Muhamad Said Jonit yang kemudian meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR bersama ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim dan ADUN Serom, Faizul Amri Adnan.

No comments: