POLITIK LEBAI MALANG


#CERPOL: HIKAYAT LEBAI MALANG MODEN
Tersebutlah kisah di zaman yang lepas.
Lebai selamatkan itik tempang yang cemas.
Waktu si itik hampir-hampir nak lemas.
Sebenarnya lebai bukanlah ikhlas.
Tapi lebai tahu si itik bertelur emas.
Malangnya selepas sampai ke rumah
Baru lebai tahu berita tak indah.
Si itik tak boleh bertelur sudah.
Kalau diikut api amarah yang marak,
Ke luar rumah itik nak dicampak.
Tapi sebab tak mahu dibilang tamak,
Si lebai pun belalah si itik yang jinak.
Dirawat luka sepenuh raga.
Diberi makan, ubat segala.
Berdoa lebai setiap masa.
Si itik bertelur emas semula.
Pada suatu malam yang panas.
Lebai terjumpa ular di atas pentas.
Tubuhnya kemetot, sisiknya emas.
Soal berfikir lebai memang malas.
Ular emas segera lebai galas.
Pulang ke rumah lebai bergegas.
Malangnya ular dan itik tak betah bersama.
Kerana si ular walau kemetot tubuhnya,
Tapi besar pula akan nafsunya.
Itik yang tempang pun cuba dibelitnya.
Namun si itik biarpun tempang, licik sifatnya.
Takkan dapat si ular membelit begitu saja.
Dengan tidak disangka-sangka,
Si itik yang menyudu si ular sawa,
Hingga tertanggal sisik emas di tubuhnya.
Sisik emas yang bertaburan,
Dengan cepat itik pun telan.
Sekonyong-konyong kakinya kesembuhan.
Tak tempang lagi itik berjalan.
Telur emas juga dah mampu itik hasilkan.
Cuma saiznya belum sebesar kebiasaan.
Lebai gembira tidak terhingga.
Lebai rasa usahanya tak sia-sia.
Itik kini dah sihat semula.
Bolehlah lebai tumpang tuahnya.
Kerana telur emas 'kan kembali ada.
Malangnya sikap itik mula berubah.
Kerana berasa dirinya semakin gagah.
Lebai dah semakin itik tak endah.
Si itik mahu segera melangkah.
Meninggalkan rumah yang dia tak betah.
Itik mendakwa lebai sebagai punca,
Kerana membawa ular tinggal bersama.
Sedangkan lebai tahu duduk perkara,
Ular sawa tak boleh dipercaya.
Itik sendiri pernah cuba dibahamnya.
Tapi itu lebai tak peduli.
Rasa tamak menguasai diri.
Itik dan ular mesti tinggal sekali.
Kalau tidak lebai yang rugi.
Lebai nak dua-dua ada di sisi.
Sisik emas lebai mengidam,
Telur emas lebai nak eram.
Malang lebai langsung tak perasan,
Yang ular dan itik sama tujuan.
Lebai hanyalah batu loncatan.
Untuk dapatkan ubat dan makan.
Hubungan mereka tiada keikhlasan.
Semata-mata nak ambil kesempatan.
Tapi sebab nak cepat kaya,
Sampai berfikir pun lebai terlupa.
Akhirnya bila itik dah sihat semula,
Itik pun tak mahu nak tunggu lama.
Tinggal lebai dengan mulut ternganga.
Tapi itik masih ada simpati.
Diajaknya juga lebai pergi.
Namun ada satu syarat diberi,
Dengan ular lebai jangan berkawan lagi.
Tapi lebai kata tak sampai hati.
Tak tergamak ular nak dibiarkan mati.
Kepada itik lebai merayu lagi.
Tak salah itik dan ular tinggal sekali.
Sebenarnya bukan ular yang lebai simpati.
Tapi lebih kepada diri sendiri.
Kerana leher lebai ular dah beliti.
Kalau lebai cuba melangkah pergi.
Ular kan jerut sampai lebai mati.
Termenung lebai menyesali nasib.
"Itik lupa diri", tak sudah lebai ratib.
Dulu tempang lebai yang kutip.
Bila dah pulih, hilang terus tertib.
Begitu hikayat si lebai malang.
Disebabkan tamak, semuanya hilang.
Kepada itik marahnya bukan kepalang.
Lebai nak ikut, si ular menghalang.
Nak dibiarkan, telur emas 'kan hilang.
Sudahnya lebai yang gila bayang...
#CERPOL ini hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan mana² individu sama ada yang telah hidup atau masih meninggal dunia. Sekiranya wujud persamaan, ianya hanyalah satu kebetulan sahaja.


 

No comments: