Jangan termakan lakonan PN – BN tolak korupsi di Johor
BN dan Perikatan Nasional (PN) bermain wayang kononnya mereka menolak korupsi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagi Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, kegagalan kedua dua gabungan politik itu bertindak ke atas kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang bukan pun ahli politik utama negara menunjukkan mereka tidak serius memerangi rasuah.
Sehubungan itu pengundi dalam dalam PRN kali ini, katanya, tidak seharusnya termakan wayang kedua dua perikatan politik berkenaan.
“KEADILAN menggesa Umno-BN dan Bersatu-Pas supaya berhenti berlakon atas siapa tokoh yang lebih suci dan tidak korup.
“Ambil isu saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sebagai contoh, setakat ini tiada sebarang tindakan yang diambil, maka BN atau PN tidak perlu hipokrit kononnya tolak korupsi. PN dan BN sentiasa bisu dalam isu ini, slogan Keluarga Malaysia ternyata hanya retorik untuk menutup kegagalan kerajaan .
“Kepada KEADILAN, jelas kedua-dua barisan ini adalah sama. Umno-BN adalah sinonim dengan penyelewengan dan budaya korupsi selama 60 tahun ini. Tidak kira kluster mahkamah ataupun kluster yang lain, virusnya tetap sama,” katanya dalam sidang media petang ini di Bilik Gerakan Utama KEADILAN Johor
Selain itu, tegas Chean Chun rakyat juga tidak melupakan kedua-dua blok tersebut yang membentuk kerajaan telah gagal menguruskan pandemik Covid 19 tahun lepas, dan terus terjerumus di dalam sengketa dalaman.
ADUN Semambu itu juga berkata, sebaliknya KEADILAN menawarkan dasar integriti dan menampilkan pimpinan yang menolak budaya korupsi.
“Berbeza dengan parti-parti lain, tiada seorang pun pemimpin KEADILAN pada hari ini yang dibicara di mahkamah soal korupsi.
“Selama 23 tahun perjuangan, KEADILAN masih konsisten memperjuangkan politik bersih dan telus melalui reformasi institusi dan kesedaran awam,” katanya lagi.
Justeru kata beliau, atas semangat melawan korupsi dan melakukan perubahan total, KEADILAN melancarkan kutipan dana sempena PRN Johor dengan jualan baju T khas melawan korupsi.
Kemeja T yang dilancarkan tersebut terisi dengan tulisan “Tolak Korupsi” dalam pelbagai Bahasa. Bagi yang ingin menyumbang derma, kata Chean Chun lagi, boleh disampaikan kepada akaun Parti Keadilan Rakyat, Hong Leong Bank di nombor akaun 19901000076.