KENYATAAN MEDIA:
"PEMBAHAGIAN KERUSI DAN KERJASAMA PH & MUDA DALAM PRN
JOHOR"
1. Pada awalnya AMANAH, PKR dan DAP telah mengagihkan kesemua 56
kerusi DUN Johor di antara komponen parti-parti Pakatan Harapan (PH). AMANAH
diberikan 20, PKR 20 dan DAP 16 kerusi DUN.
2. Dalam usaha mencapai serta melebarkan kesatuan pembangkang
untuk menghadapi BN dan PN dalam PRN Johor, kami bersetuju setiap parti boleh
berunding dengan parti-parti pembangkang lain mengenai kerusi-kerusi yang
ditugaskan kepada kami.
3. Hasil rundingan bersama MUDA, AMANAH telah menyerahkan 4 dari
20 kerusinya kepada MUDA dan DAP telah menyerahkan 2 dari 16 kerusinya.
Malangnya rundingan PKR dan MUDA telah tidak berjaya mencapai kata sepakat.
4. Kami dimaklumkan oleh kerana gagal mencapai kata sepakat,
maka akan ada pertindihan antara PKR dan MUDA di kerusi tertentu. Kami
mengharapkan mereka akan terus berunding untuk mencari jalan serta formula
terbaik hingga ke saat akhir.
5. Amat malang seandainya berlaku juga pertindihan kerusi ini
kerana Pakatan Harapan telah membentuk satu kerjasama dengan MUDA sejak awal.
Situasi ini hanya akan menguntungkan BN dan PN di kerusi berkenaan.
6. Namun demikian AMANAH terpaksa membuat pendirian untuk
menghadapi kemungkinan ini. Bagi AMANAH, PKR adalah rakan gabungan. Oleh itu di
mana berlakunya pertindihan antara PKR dan MUDA di kerusi yang telah
diamanahkan kepada PKR, AMANAH akan menyokong calon PKR.
7. Pada masa sama, di kerusi yang telah AMANAH serahkan pada
MUDA, dari kerusi-kerusi diamanahkan kepada AMANAH, MUDA hendaklah dianggap
mewakili AMANAH dan semua rakan gabungan PH, termasuk PKR, hendaklah menyokong
calon MUDA.
8. Kalau pertindihan tidak dapat dielak dikerusi-kerusi
tertentu, biarlah pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang
dihadkan kepada kerusi-kerusi tersebut sahaja, sambil semangat kerjasama antara
pembangkang kekal dipertahankan di kerusi-kerusi selainnya, demi mendukung
matlamat yang sama untuk menafikan kemenangan kepada UMNO-BN serta menghalang
kembalinya kepimpinan yang mendukungi Kluster Mahkamah serta
Perompak-Pencuri-Kleptokrat.
KHALID ABD SAMAD
Pengarah Biro Komunikasi
Parti AMANAH Negara