SIAPA KATA WANITA MELAYU TAK HEBAT?

 

Bagi kaum wanita, dikhianati cinta, dijanji kahwin yang tidak menjadi dan seterusnya ditinggal pergi adalah pengalaman universal yang dilalui oleh semua bangsa di dunia ini.

Sebagai mangsa, ada yang sekadar menyimpan rasa kecewa di dalam hati, meski terpaksa bertahun menanggungnya dan tidak kurang yang akhirnya jadi pendendam kepada kaum lelaki, terutama jika hubungan itu terjalin dalam tempoh yang lama.

Tidak kurang yang memilih membunuh diri dengan terjun bangunan, minum racun dan sebagainya.

Dengan peredaran zaman, terutama apabila kebendaan bertakhta di mata dan di hati, ramai pula kaum wanita akhirnya menjadi bijaksana dengan menuntut pelbagai pampasan atau ganjaran sebagai balasan kerana cinta dikhianati, terutama terhadap pasangan yang sudah bergelar suami orang atau golongan berada.

Di negara maju, tuntutan berjuta-juta adalah perkara biasa kerana mangsa bukan saja rasa dikhianti dan masa menuju tua terbuang begitu saja, bahkan sebagai pampasan kerana telah menyerahkan tubuh badan secara percuma bak pasangan suami isteri sepanjang hubungan terjalin.

Tetapi, di negara kita, jarang-jarang ada yang berani membuat tuntutan berjuta, apa lagi dengan membuat ugutan terhadap salah laku pasangan yang diketahuinya jika permintaan tidak dipenuhi.

Yang biasa kita dengar, ramai yang sekadar beralah, berlalu pergi dan menyimpan sendiri kekecewaan dengan lama serta menganggap sudah takdir Tuhan begitu jadinya.

Selebihnya, mungkinlah ada yang sekadar diberikan sedikit wang tunai, sebuah kereta terpakai serta barang-barang keperluan lain untuk menjalani kehidupan seterusnya.

Amat jarang kedengaran ada yang berani menuntut diberikan rumah, hartanah mewah atau wang dengan jumlah berjuta.

Sebab itu, bila ada wanita Melayu didedahkan sudah berani menuntut sebuah kediaman berharga RM41 juta di London untuk pampasan hubungan yang diputuskan, sambil menggunakan ugutan mendedahkan salah laku pasangannya sebagai senjata untuk memenuhi kehendak di hati, ini benar-benar suatu kemajuan, malah kehebatan yang luar biasa.

Lebih hebat lagi, cerita berkenaan didedahkan di mahkamah di Amerika Syarikat dan tentu saja berita itu menjadi bualan ramai semua bangsa di seluruh dunia.

Maka, siapa kata wanita Melayu tidak hebat?

Bagi yang mengejar dan gila kepada kebendaan, cerita ini tentu saja suatu inspirasi yang amat mengujakan buat mereka.

Selepas ini, mungkin lebih ramai yang tidak takut lagi untuk menjalin hubungan dengan sesiapa saja, bahkan tidak akan teragak-agak membuat tuntutan pampasan serta ugutan jika hubungan diputuskan untuk menjadi penawar kepada kekecewaan gagal menaiki pelamin.

Kalau putus cinta dan ditinggalkan, tetapi akhirnya dapat habuan sebuah kediaman semewah RM41 juta atau setara dengannya, barangkali rasa kecewa dan pedih hati yang dirasa tidak akan lebih setengah jam mendekam dalam jiwa.

Setengah jam selepas itu, pasti girang gembira dan cerialah kembali kehidupan seolah-olah di alam kayangan.

Inilah cerita motivasi sebenarnya.

Lebih daripada itu, dengan ganjaran yang diperolehi itu juga, mencari cinta baru yang benar-benar setia pasti lebih mudah selepas itu dan tidak lagi sesukar seperti sebelum ini.

Pasti ada lelaki biasa yang sedia mencurahkan kesetiaan dengan sepenuh hati asal saja dapat berkongsi kemewahan yang memang mereka idam-idamkan selama ini.

Atau kalau susah-susah, wanita berkenaan boleh saja enjoy seorang diri menikmati kehidupan dan kemewahan sehingga ke hari mati.

Sebagai peneman kesunyiaan, ada banyak pilihan boleh dilakukan, sama ada membela anak angkat atau hidup dengan binatang peliharaan untuk dijadikan teman.

Yang penting, tiada lagi kemungkinan untuk dikecewa atau dikhianati.

Kepada kaum lelaki, cerita ini juga inspirasi buat mereka – kalau tidak kaya dan gaji sekadar cukup makan saja, lebih baik memilih jadi pasangan yang setia hingga ke hujung nyawa. – ShahbudinHusin 25/02/2022.


No comments: