Oleh SITI NUR ZAWANI
MISCON / December 1, 2021
Jawatankuasa Pendidikan
Pakatan Harapan (JKPPH) mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) bersikap lebih terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan
guru-guru menyatakan pandangan berhubung permasalahan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik berkata, ini susulan laporan bahawa beberapa
orang guru telah dipanggil oleh Unit Integriti KPM kerana mengeluarkan pendapat
kritikal agar KPM menambah baik perkhidmatan dan pelaksanaan polisi khususnya
berkaitan beban guru.
Menurutnya, isu yang
dibangkitkan oleh guru-guru yang terlibat bukanlah isu politik, salah laku
(pecah amanah) mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme
seorang guru.
“Isu yang dibangkitkan adalah
masalah asas sebenar yang berlaku di peringkat bawahan dan diangkat oleh
guru-guru terlibat supaya pihak atasan lebih cakna untuk melakukan
penambahbaikan.
“Malangnya
KPM telah mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan
besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif,” katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Dalam
pada itu Maszlee berkata, saluran yang disediakan nanti membolehkan guru
menyampaikan pandangan mahupun kritikan kepada KPM untuk diambil tindakan.
“Di
samping itu JKPPH juga mencadangkan agar para guru dapat menyalurkan juga
pendapat dan aduan mereka kepada JK Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia
agar JK Pilihan tersebut dapat membawanya ke pihak KPM,” katanya lagi.