Azmin silap, CPTPP akan jejas Bumiputera, kata Ahli Parlimen

Imran Ariff

 -
Pakatan CPTPP melibatkan Malaysia, Brunei, Vietnam, Singapura, Australia, New Zealand, Jepun, Kanada, Mexico, Chile dan Peru. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Beberapa bab dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menjejaskan hak Bumiputera walaupun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkali-kali menafikannya, menurut Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Katanya, peruntukan dalam bab-bab ini akan menjejaskan dasar dan keistimewaan Bumiputera, termasuk dalam bidang pelaburan, perolehan kerajaan dan perusahaan milik kerajaan.

Pakatan CPTPP melibatkan Malaysia, Brunei, Vietnam, Singapura, Australia, New Zealand, Jepun, Kanada, Mexico, Chile dan Peru. Malaysia adalah satu daripada empat negara yang masih belum meratifikasinya.

Santiago mengakui, perjanjian itu mengandungi langkah-langkah tidak patuh yang membenarkan Malaysia mengekalkan atau menerima pakai dasar, tetapi katanya, ini hanya terpakai bagi sektor-sektor tertentu.


Charles Santiago.

“Contohnya, pengecualian New Zealand untuk orang aslinya, yang mengecualikan keutamaan bagi kaum Maori daripada keseluruhan CPTPP.

“Namun Malaysia tidak mempunyai pengecualian yang setara bagi dasar dan keistimewaan Bumiputera,” katanya.

Mengenai klausa yang menyatakan Malaysia berhak menerima pakai atau mengekalkan langkah-langkah yang membantu Bumiputera, baru-baru ini disebut Azmin sebagai bukti keizinan yang diperuntukkan oleh perjanjian itu, Santiago berhujah, bahagian ini hanya dapat diguna pakai bagi lesen-lesen yang dikeluarkan dalam sektor tertentu.

“Ia bukan pengecualian umum untuk membantu Bumiputera. Ia tidak membenarkan Malaysia mensyaratkan 30% ekuiti Bumiputera,” katanya.

“Memandangkan bab pelaburan CPTPP meliberalisasikan semua sektor kecuali yang disenaraikan, syarat 30% ekuiti Bumiputera hanya dibenarkan dalam sektor yang menyatakan perkara ini dalam Lampiran I atau II Malaysia, seperti pasar raya besar, kedai besar dan kedai serbaneka.”

Tambahan, katanya, Malaysia tidak akan dapat mewajibkan syarikat asing melantik Bumiputera dalam jawatan kanan atau sebagai ahli lembaga pengarah kerana ini akan melanggar perjanjian.

Mengenai perolehan kerajaan, beliau berkata, Malaysia tidak akan dapat mengarahkan perolehan barangan dan perkhidmatan kerajaan kepada syarikat Bumiputera dalam kebanyakan kes.

“Malaysia mempunyai beberapa pengecualian, termasuk hak untuk mengarahkan sehingga 30% daripada jumlah nilai kontrak pembinaan melebihi ambang yang dipersetujui kepada Bumiputera, tetapi pada masa ini Malaysia boleh memilih untuk mengarahkan 100% kontrak pembinaannya kepada Bumiputera. CPTPP mengurangkannya kepada 30%.

“Selain itu, pengecualian ini hanya bagi kontrak pembinaan. Ini bukan pengecualian bagi semua perolehan, seperti kementerian membeli barangan seperti kertas atau kereta, atau perkhidmatan seperti perkhidmatan telefon,” katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar juga akan terjejas kerana mereka yang meraih pendapatan tahunan melebihi RM1.17 bilion perlu meliberalisasikan perolehan kebanyakan barangan dan perkhidmatan serta pengeluaran kontrak.

Terdapat beberapa pengecualian, namun kata Santiago, ia terhad.

“Lampiran IV membenarkan perusahaan milik kerajaan untuk mengarahkan sehingga 40% daripada bajet pembelian mereka kepada perusahaan milik Bumiputera, Sabah, Sarawak dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana).

“Namun, jika anda melihat syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad, yang pada 2019 memperuntukkan 68% daripada perolehannya buat Bumiputera, ia perlu diturunkan kepada 40%. Ini bermakna tiada keutamaan tambahan boleh diberikan kepada Sabah, Sarawak atau PKS tanpa mengurangkannya lagi.

Baki 60% perlu diliberalisasikan dan syarikat Bumiputera kemudiannya perlu bersaing dalam harga dan kualiti untuk baki peratusan dana, tambahnya.

No comments: