KRITIK PUN KENA GANTUNG KEAHLIAN. DULU AKU INGAT UMNO JA MACAM NI. TAPI PKR PUN SAMA JUGA YA...TAK ADA PARTI PUN TAK APA....KITA LAWAN TETAP LAWAN.

 


Iswardy Morni digantung keahlian PKR




Iswardy Morni digantung keahlian PKR

Iswardy Morni digantung sementara keahlian oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan pada Ahad.

Perkara itu disahkan oleh Datuk Ahmad Kassim yang merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, susulan Iswardy didakwa mengkritik keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu secara terbuka sewaktu berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jelas bekas Pengerusi Lembaga Disiplin PKR itu, tindakan terhadap Iswardy Morni yang merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu adalah berasaskan Perkara 41 (6) Perlembagaan PKR yang memperuntukkan kuasa kepada jawatankuasa MPP untuk menggantung sementara keahlian mana-mana anggota parti didapati melanggar peraturan parti.

Tempoh penggantungan sementara itu adalah sehingga siasatan terhadap kes pelanggaran disiplin yang disabitkan kepada Iswardy selesai, kata Datuk Ahmad Kassim.

“Lembaga Disiplin parti hanya bertindak sebagai penjaga garisan di mana jika ada pemain yang bertindak melanggar atau keluar daripada garisan padang dengan sengaja, kami akan minta dia keluar sekejap dan ‘rehat’ tepi padang dahulu.

“Namun, sama ada tempoh rehat pemain itu lama atau sebentar, segalanya bergantung kepada penjaga garisan untuk mendengar hujah pembelaan individu berkenaan.

“Jadi dalam kes Iswardy, kita akan memberikan notis penggantungan sementara keahlian beliau dan surat tunjuk sebab untuk beliau respons dalam tempoh 14 hari,” katanya selepas dihubungi Sinar Premium pada Ahad.

Sewaktu PRN Melaka berlangsung, Iswardy Morni yang dikatakan pro kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, telah menggunakan platform media sosialnya bagi mengkritik beberapa keputusan parti.

Antara kritikan beliau yang kritikal termasuklah keputusan pencalonan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang didakwanya tidak disenangi akar umbi PKR negeri itu.

Iswardy turut lantang mengkritik keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membenarkan dua calon ‘katak’ daripada UMNO iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan bekas Exco Kerajaan Melaka, Datuk Nor Azman Hassan bertanding pilihan raya menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH).

Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa faktor utama kekalahan PKR pada PRN Melaka adalah disebabkan perbuatan sabotaj daripada Iswardy dan Rafizi yang berterusan mengkritik keputusan parti secara terbuka melalui platform media sosial masing-masing.

Sebelum itu, Iswardy mencetuskan kontroversi apabila didakwa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebooknya.

Iswardy juga merupakan antara pemimpin PKR yang popular dalam kalangan pengikut parti itu melalui platform media sosial dengan program siaran langsung Facebooknya sentiasa diikuti ribuan warga maya.

Mengulas lanjut, Ahmad turut mendedahkan Iswardy pernah dikenakan tindakan disiplin dan dipanggil untuk perbicaraan di hadapan Lembaga Disiplin PKR atas dakwaan cuba mensabotaj gerak kerja parti di DUN Asahjaya menjelang PRN Sarawak, dalam tahun ini.

Hal ini disebabkan Iswardy difahamkan mahu mengintai peluang untuk bertanding di DUN berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Iswardy didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan itu setelah Lembaga Disiplin parti berpuas hati dengan hujah dan bukti dikemukakan pemimpin berkenaan.

“Justeru, Lembaga Disiplin parti memberi jaminan akan mengadili kes pertuduhan dihadapi Iswardy secara profesional.

“Sekiranya parti memutuskan tindakan susulan perlu diambil, kami juga hanya akan mengesyorkan bentuk tindakan bersesuaian. Sebaliknya keputusan pelaksanaan tindakan terletak di bawah bidang kuasa MPP,” katanya.

Ditanya kemungkinan terdapat pemimpin PKR lain termasuk Rafizi akan diambil tindakan serupa, Ahmad menegaskan pihaknya hanya akan mengambil tindakan susulan berdasarkan laporan atau aduan rasmi yang diterima.

“Setakat ini, kami belum lagi menerima sebarang aduan rasmi berkaitan dakwaan pelanggaran disiplin Rafizi,” katanya.

No comments: