FATWA BARU BABITKAN AYAM BERTELUR.TAK PASAI PASAI AYAM LAK KENA

 

Hadi anggap ada pihak lantang bersuara seperti ayam tapi bertelur cuma sebiji


Susulan bencana besar yang melanda negara sejak dua minggu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan ada pihak yang bersuara lantang laksana ayam berkokok tetapi bertelur cuma sebiji.

Namun katanya, ada juga dalam kalangan mereka bersikap laksana penyu yang tidak berbunyi, tetapi telurnya banyak sampai beratus biji.

“Selain itu, ada pula kalangan yang berlagak seperti seorang jeneral yang tidak berpaku tanpa bala tentera, namun suara tempiknya laksana mengerahkan ribuan bala tentera.

“Golongan sedemikian hanya menjadi pemerhati yang hanya tahu bersuara tidak berkemampuan untuk turun ke lapangan yang sudah ditenggelami air kerana tidak mampu mengayuh sampan dan berenang,” katanya dalam kemaskini minda Presiden Pas di Facebook hari ini.

Hadi berkata, jika hanya mencari kelemahan untuk menaikkan diri dan menjatuhkan pihak yang dianggap lawan sepanjang masa walaupun ketika menghadapi bencana, maka tunggulah kemusnahan yang berulang.

Menurutnya, ketika berlaku bencana besar sekarang, sepatutnya bukan masa untuk berkelahi dan bertarung mahupun saling jatuh menjatuhkan.

Akan tetapi, perlulah bersatu dengan tolong-menolong bersama menanggung kelemahan serta nasihat menasihati dalam kesilapan yang berlaku.

“Lebih parah lagi terhadap mereka yang suka menyebarkan kelemahan dan kekurangan pihak lain sekadar untuk melariskan berita murahan.

“Malah, mereka membuat provokasi yang sangat hina dan mempersendakan mereka yang telah berkorban.“Demikian itulah terdapat manusia yang hanya mempedulikan dirinya sahaja tanpa mempedulikan kehidupan bermasyarakat. Apabila berlakunya bencana kita dapat mengenali telatah manusia,” ujarnya.