Tapak kolam takungan banjir diubah guna: Siasatan boleh mula dari Laporan Ketua Audit Negara



\



Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 mengenai tapak kolam takungan banjir di Jinjang, Kuala Lumpur yang diubah syarat dan digunakan untuk pembangunan boleh disiasat dengan mudah.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, sebahagian besar laporan berkenaan dianggap terperinci dan boleh digunakan untuk memulakan siasatan.

Katanya, menurut LKAN, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 2015 “telah bermesyuarat untuk mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berminat memajukan Kolam Takungan Banjir Sg Jinjang (KTBSJ), iaitu salah satu dari 6 kolam takungan banjir yang telah diberi milik untuk dibangunkan", dengan jelas merujuk siasatan boleh dibuat ke atas seseorang yang menjadi KSN ketika perkara itu diputuskan.

"Siapakah Ketua Setiausaha Negara yang dimaksudkan bagi KTBSJ ini?

"Siapakah ahli-ahli mesyuarat serta pengerusi mesyuarat Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPSWPKL) yang dinyatakan dalam LKAN ini, yang telah membolehkan kelulusan pemberimilikan kolam takungan banjir dibuat?

"Mengapa pandangan JPSWPKL berhubung cadangan pembesaran kolam takungan banjir pada 8 Ogos 2015 tidak diendahkan?

"Mengapa hasrat Jabatan Pengairan dan Saliran, agensi teknikal yang kompeten dalam hal tersebut, agar kolam-kolam takungan banjir tidak diberi kepada pihak ketiga tidak dihirau?

"Tidak perlu siasatan ini bermula dari zero," katanya di Facebook.

Tambah Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, sesiapa yang ingin menyiasat serta mengambil tindakan ke atas mereka yang telah membolehkan penjualan tapak kolam-kolam takungan banjir berkenaan boleh merujuk LKAN 2019 Siri 2 dengan mudah.

"Tapi ingat, siasatan Ketua Audit Negara ini hanya menyentuh satu dari enam kolam takungan banjir yang dinyatakan," katanya lagi.

Isu ubah syarat guna tanah untuk 6 kolam takungan banjir menjadi hangat semula selepas semalam Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam sidang medianya menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi maklum balas dalam tempoh 24 jam bagi menyiasat skandal berkenaan, yang telah didedahkan beliau di Parlimen.

Bagaimanapun SPRM belum menyatakan tindakan berkaitan hal itu sehingga hari ini.

 

No comments: