IDRIS HARON, NOR AZMAN BUKANLAH ‘KATAK POLITIK’ SEPERTI HAMZAH ZAINUDDIN, AZMIN ATAU TOK PA

 

Ada beberapa pihak yang terkait dengan PH secara terbuka meluahkan rasa kurang senang atas tindakan gabungan itu memilih dua bekas Adun UMNO, Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calon dalam PRN Melaka.

Hujah mereka, tindakan PH itu tidak beretika kerana menerima “katak politik” ke dalam gabungan tersebut, sedangkan selama ini menolak perbuatan melompat parti.

Termasuk yang secara terbuka menunjukkan rasa senang itu ialah DAP, salah sebuah parti dalam PH sendiri.

Dilaporkan bahawa ketika pengumuman calon PRN Melaka semalam, pemimpin DAP telah tidak memunculkan diri sebagai tanda protes mereka kepada PH.

Isunya, adakah Idris dan Nor Azman merupakan “katak politik”?

Adakah mereka sama seperti Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Mustapa Mohamad yang melompat daripada UMNO untuk menyertai Bersatu sebaik BN tewas dalam PRU14 lalu?

Atau, adakah juga tindakan kedua-dua Adun itu sama seperti Kumpulan Azmin Ali yang meninggalkan PKR dan mengkhianati PH semata-mata kerana mahu menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri?

Dalam hal, harus kita berlaku adil kepada Idris Haron serta Nor Azman dan melihat dalam skop yang lebih luas tentang jiwa besar PH menerima kedua-dua Adun itu sebagai calon PRN Melaka.

Realitinya, Idris dan Nor Azman menyertai PKR serta Amanah hanyalah setelah mereka dipecat oleh UMNO berikutan tindakan mereka bersama dua Adun lain menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka pimpinan Sulaiman Md Ali.

Mereka tidak melompat untuk menyertai PKR dan Amanah ketika masih berada dalam UMNO, sebaliknya memilih untuk bersama PH setelah tidak lagi menjadi ahli kepada mana-mana parti.

Tindakan mereka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri tidak lain ialah kerana tidak mahu melihat pelbagai kemungkaran, penyelewengan dan perkara tidak betul berlaku dalam kerajaan negeri ketika mereka memegang jawatan sebagai Exco dan juga wakil rakyat.

Lantaran itu, mereka bertindak menarik sokongan dengan tujuan agar kuasa kerajaan negeri dikembalikan kepada PH sebagaimana mandat diberikan pengundi pada PRU 2018 lalu.

Atas tindakan berani itu, mereka kemudiannya dipecat daripada UMNO.

Setelah dipecat dan kemudian PRN diadakan, hakikatnya tidak menjadi kesalahan untuk PH menerima dan mencalonkan mereka semula sebagai calon kerana mereka sudah tiada parti ketika itu.

PH pula akan dilihat sebagai parti yang tidak mengenang budi dan tidak tahu menghargai pengorbanan orang lain jika membiarkan saja Idris dan Nor Azman “mati karier politiknya” begitu saja.

Keadaan mereka adalah berbeza dengan dua lagi Adun, Nor Affendi Ahmad dan Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini berasal daripada Bersatu dan DAP, tetapi kemudian bertindak khianat untuk menjatuhkan kerajaan negeri PH yang diterajui Adly Zahari.

Mereka ini memang tidak boleh diberi muka lagi atau diterima sebagai calon oleh PH.

Dulu 2018 pun mereka bertanding atas nama PH menggunakan logo PKR, selepas itu menjatuhkan PH, maka tidak masuk akal sama sekali untuk menerima mereka lagi sebagai calon.

Untuk itu, keputusan PH menolak dan tidak mencalonkan mereka adalah tepat dan wajar.

Ini berbeza dengan Idris dan Nor Azman yang memang berasal daripada UMNO dan bertanding atas tiket BN pada PRU 2018 lalu, cuma hidayah Tuhan telah menyerkap ke dada mereka lalu bertindak menjatuhkan kerajaan pintu belakang BN di Melaka dengan satu tujuan – mengembalikan semula mandat rakyat kepada PH.

Selain mereka tidak boleh dikategorikan sebagai “katak politik” seperti Kumpulan Hamzah Zainuddin, Kumpulan Azmin Ali dan Mustapa Mohamad atau Tok Pa, meraikan kemasukan mereka ke dalam PH juga sebenarnya menepati agenda “Khemah Besar” yang diperjuangkan gabungan itu selama ini. – 


ShahbudinHusin 07/11/2021.



No comments: