Calon BN: Bimbang sabotaj dalaman, Zahid janji penyandang yang digugur jadi calon Parlimen

 



Calon BN: Bimbang sabotaj dalaman, Zahid janji penyandang yang digugur jadi calon Parlimen



Penyandang kerusi DUN yang digugurkan atau tidak dicalonkan pada PRN Melaka 20 Nov ini, akan dipertimbang bagi kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah yang diambil BN ketika ini adalah satu pendekatan baru dan berani, dalam memenuhi kriteria Wali (winnable, acceptable and likeable) yang diutarakan sebelum ini.

“Adun yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih. Kepada mereka ini, parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baru.

“Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-Allah mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada PRU nanti. Apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi kita selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Bernama hari ini melaporkan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baru, di samping mengekalkan empat penyandang untuk PRN Melaka.

Dia dipetik sebagai berkata empat penyandang berkenaan ialah Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Muhammad Jailani Khamis serta Zaidi Attan.

Tarikh mengundi PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai ketua menteri Melaka, ketika itu.