Gelagat politik PAS tidak patuh syariah?DI SIARKAN SEMULA

 


Hujung minggu ini pemimpin-pemimpin PAS akan sekali lagi mempamerkan kegesitan, kepintaran, dan ketinggian ilmu serta hemah tahaluf siyasi mereka kepada ahli-ahli parti yang mengaku memperjuangkan Islam dan kepentingan Melayu itu.

Abdul Hadi Awang dan pemimpin lain harus mentarbiyahkan pemimpin-pemimpin di semua peringkat bahawa PAS kini telah berada pada tempat istimewa percaturan politik negara.

Usaha meletakkan PAS di takuk kuasa baharu ini mampu dicapai kerana kebijaksanaan team Haji Hadi yang telah menyempurnakan kefahaman politik Islam sebenar dan berhasil menterjemahkannya dalam gelanggang politik negara.

Justeru, ahli-ahli wajar memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang sudah pun diterima menjadi presiden dan Timbalan bagi satu lagi penggal, tanpa bertanding.

Namun ada juga pihak menganggap Muktamar ke-67 parti itu di Terengganu Sabtu dan Ahad ini akan menjadi sesuatu yang getir kerana mereka berasa terkilan dengan cara gaya politik yang digunakan pemimpin yang dikatakan melacuri perjuangan politik PAS.

Memang benar PAS kini bukan lagi parti Melayu-Islam sebelum era pandemik Covid-19 melanda hampir dua tahun lalu.

PAS kini komponen utama dalam kerajaan hari ini. Malah ia memiliki kuasa pengimbang dalam memelihara kerukunan dan keutuhan politik Malaysia. Ia sudah jadi “broker” dan ahli keluarga utama kerajaan yang memerintah.

Justeru ada pihak dalam PAS sendiri ragu pendekatan politik yang dibawa oleh Hadi dan beberapa pemimpin PAS yang diberi mandat untuk menduduki Kabinet Malaysia dan jawatan berpengaruh dalam beberapa kerajaan negeri.

Tambahan pula, dalam muktamar kali ini pemilihan barisan kepemimpinan baharu akan berlangsung secara hibrid di mana bukan semua perwakilan dapat bersidang secara bersemuka dan hanya mampu menyertai proses pemilihan secara maya.

Pengalaman ramai pemimpin yang tidak berpuas hati dengan beberapa teori konspirasi hingga ada ahli dan pemimpin meninggalkan PAS dan kemudian menubuhkan Amanah dikhuatiri akan berulang.

Bagi menghindari kebarangkalian ini, keluhuran dan kewibawaan proses pemilihan kali ini mungkin dipertikaikan. Lantas para pemimpin PAS harus bersedia untuk bersilat meyakinkan ahli bahawa proses ini berjalan secara syarie sepenuhnya.

Ada juga pemikir yang berpengaruh dalam PAS yang kurang senang tuduhan PAS mutakhir ini berakhlak persis pelacur politik. Ia bermula dengan hubungan intim dengan Umno atas alasan memperkukuh perpaduan Melayu-Islam dalam Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun pucuk pimpinan PAS kemudian dilihat berselingkuh pula dengan pengkhianat yang melompat dari PKR bersama beberapa petualang Umno ke Bersatu untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gelagat PAS ini mengganggu iman sesetengah ahli dan pemimpinnya apabila ada pihak menuduh tindak tanduk PAS itu seakan akhlak entiti pelacur.

Keraguan ini mula bercambah apabila dalam pilihan raya Melaka yang akan berlangsung bulan ini, PAS dilihat meninggalkan Umno dalam rundingan dengan Bersatu mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi.

Ramai ahli PAS yang yakin akan keluhuran perjuangan PAS. Mereka percaya keberadaan mereka dalam PAS satu jihad. Namun bila PAS mula “bersalin tikar” dan berpacaran dengan janda-janda politik Umno dan PKR, keimanan politik mereka jadi goyah.

Jika tuntutan penjelasan tentang taktik politik pimpinan PAS yang menyarung jersi Machiavelli dalam arena politik Malaysia kerana sudah mula kecanduan kuasa selepas menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tidak mustahil ada yang sedia bermufarak dari Jemaah PAS.

Adalah menarik memerhatikan cara Hadi dan konco-konconya melayani ahli-ahli PAS yang mula ada syak dan waham terhadap perilaku politik PAS kini.

Adakah muktamar kali ini akan menjadi kempen raksasa mentarbiyah semula ahli bahawa tahaluf siyasi PAS kini patuh Syariah?

Atau, muktamar hibrid PAS ini akan meresapi politik pragmatisme ‘matlamat menghalalkan cara’

No comments: