Pas perleceh Zahid, anggap kenyataannya bukan keputusan rasmi Umno

 


Pas perleceh Zahid, anggap kenyataannya bukan keputusan rasmi Umno


PAS menegaskan pendirian parti itu dalam Muafakat Nasional tetap sama walaupun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan tiada kerjasama politik di antara kedua-dua parti pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada akhir November ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata hal itu kerana setakat ini tiada keputusan rasmi daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berhubung perkara itu dinyatakan.

“Setakat hari ini, keputusan daripada MKT tak ada pun sebut begitu (tiada Muafakat Nasional pada pilihan raya negeri Melaka).

“Jadi, kita pakai keputusan rasmi itu. Jangan memecah-belahkan kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, seperti dipetik Malaysiakini hari ini.

Ahmad Zahid baru-baru ini berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS pada PRN Melaka yang akan berlangsung Nov ini sekali gus menegaskan keputusan mereka mahu bergerak sendirian.

Walaupun begitu beberapa pemimpin lain membayangkan sebaliknya. Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata parti itu belum memuktamad keputusan sama ada akan bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain.

Kata Mahdzir perkara itu akan diputuskan oleh MKT Umno apabila tiba masanya nanti.

Sebelum ini juga Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menjelaskan selain Ahmad Zahid, timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan juga memiliki pandangan sendiri bagi menghadapi cabaran di Melaka.

Kata Ahmad, selepas semua pandangan dan maklum balas diambil kira barulah Umno membuat ketetapan.

Menurut Idris pendirian utama PAS kini adalah memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa di Melaka.

No comments: