Belanjawan 2022: NUTP mahu sistem internet sekolah, peranti digital diberi perhatian

 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, turut meminta kerajaan mempertimbangkan gred baharu buat guru di sekolah iaitu gred DG56 susulan ramai guru kini berada di gred maksimum DG54.

KUALA LUMPUR: Peruntukan mengenai sistem internet dan peranti digital berikutan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang akan diteruskan sebagai norma baharu dalam sektor pendidikan perlu diberi penekanan pada pembentangan Belanjawan 2022, 29 Okt ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, ketika dihubungi berkata pihaknya berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk menaik taraf sistem internet di sekolah bagi memudahkan sesi pembelajaran dan pengajaran di era pasca Covid-19.

Beliau berkata, peruntukan untuk pembelian peranti dan capaian internet kepada pelajar miskin juga perlu diberi perhatian kerana sesi PdPR dilihat akan diteruskan di fasa endemik ini.

“Kita dapat belajar daripada sesi PdPR sebelum ini, bagaimana teknologi dan internet ini sangat penting, walaupun mereka sudah mula pergi ke sekolah, tetapi mungkin selepas ini PdPR akan menjadi sokongan kepada pembelajaran secara bersemuka di sekolah,” katanya.

Selain itu, Aminuddin turut meminta kerajaan mempertimbang mewujudkan gred baharu buat guru di sekolah iaitu gred DG56 susulan ramai guru kini berada di gred maksimum iaitu DG54.

“Kita harapkan gred baharu itu sebab ramai sangat di dalam kalangan guru sekarang sudah berada di tahap DG54, di gred ini mereka tidak bergerak, jadi kita mengharapkan gred DG56 itu sebagai satu lapisan baharu untuk guru,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kerajaan menyediakan rebat RM1,000 kepada guru untuk membeli komputer riba atas urusan kerja kerana kebanyakan daripada mereka terpaksa menggunakan komputer sendiri, selain menyediakan peruntukan lebih besar untuk menyelenggara sekolah terutama di kawasan pedalaman dan Sabah serta Sarawak.

“Dulu pun sudah ada peruntukan untuk baik pulih sekolah, tapi kita dapati peruntukan untuk 10,200 sekolah di seluruh negara itu tidak mencukupi untuk sekolah yang majoritinya perlu diselenggara,” katanya.

Turut senada adalah Dekan, Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gairuzazmi Mat Ghani, yang mencadangkan kerajaan menumpukan peruntukan kepada masalah dihadapi pelajar universiti ketika sesi kelas secara maya khususnya untuk pelajar daripada golongan B40.

Menurutnya, biarpun kita sedang beralih ke fasa endemik, kemungkinan besar pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan terus mengamalkan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang memerlukan penggunaan teknologi terkini.

No comments: