PH risiko rosakkan imej jika calon 4 bekas ADUN dalam PRN

 

Langkah mencalonkan empat bekas ADUN dalam PRN Melaka tidak memberi sebarang manfaat kepada PH sebaliknya hanya memakan diri selepas ini, menurut penganalisis politik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk tidak menerima empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dan meletakkan mereka sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, prinsip PH akan dipersoalkan dan ia mengundang risiko “hukuman” daripada pengundi.

“Dengan menerima mereka, saya percaya PH akan memberi gambaran bahawa mereka boleh mengetepikan prinsip dengan mudah selagi dapat mencapai matlamat politik,” kata Azmi kepada FMT.

“Ia tidak memberi sebarang manfaat kepada PH sebaliknya hanya memakan diri selepas ini.”

Seorang lagi penganalisis, Wong Chin Huat berkata, pendirian PH mengenai tindakan lompat parti akan dipersoalkan sekiranya mereka menerima empat ADUN berkenaan yang menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali hingga menyebabkan kerajaan negeri tumbang.

Beliau berkata, PH begitu keras mengkritik mereka yang berpaling tadah daripada gabungan menerusi Langkah Sheraton sebelum ini.

“PH tidak boleh melihat tindakan lompat parti ini sebagai sesuatu yang baik apabila ‘katak’ ini datang kepada mereka, tetapi menyatakannya salah apabila ‘katak’ ini menyertai Barisan Nasional (BN) atau Bersatu,” katanya.

“Pengundi tidak buta.”

Dalam laporan baru-baru ini, Idris Haron, iaitu bekas ADUN Sungai Udang, Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) memberi bayangan untuk bertanding atas tiket PH dalam PRN.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu akan membantah jika bekas ahlinya, Norhizam bertanding di bawah tiket PH tetapi enggan mengulas mengenai Idris, Nor Azman dan Effandi.

No comments: