PRN waktu Covid, tak peduli kesihatan rakyat
Pilihan Raya Negeri (PRN) melaka tidak seharusnya dilaksanakan secara terburu-buru tanpa memikirkan risiko jangkitan Covid 19 yang akan ditanggung oleh rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai faktor sepatutnya diambil kira seperti penggunaan sekolah untuk mengundi dan terdedahnya perabot-perabot di sana kepada virus Covid 19 yang boleh mengjangkiti para pelajar, sebelum mengumumkan PRN.
Begitu juga Prosedur Operasi Piawai (SOP) pengundian yang sewajarnya diperketatkan.
“(SOP) harus ada, tetapi maknanya TYT dan Kerajaan Negeri (Melaka) tak fikir implikasinya. Kita bimbang anak sekolah ada yang divaksin ada yang belum vaksin, itu risiko (jangkitan) ada.
“Ini bukan soal politik. Kita bila ada PRN, kita kena berhempas pulas tetapi risiko bagi rakyat bagaimana? Risiko kepada sekolah, anak-anak, ibu bapa bagaimana? Ini tidak difikirkan.
“Sebab itu saya lahirkan rasa dukacita kerana pemimpin tak peka. Cakap soal lain tetapi bila hal macam ini nak rebut apa? Ada masa lagi.
“Biar clear dulu betul-betul masalah Covid ini dan risiko kepada anak-anak sekolah kerana sekolah baru dibuka,” katanya selepas memberi ceramah Maulidur Rasul di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pagi tadi.
Ditanya mengenai mungkinkah PH menerima 4 ADUN Melaka yang menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, Anwar menjelaskan akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat PH petang ini.
Katanya, tidak bermakna keempat mereka diundang malam Isnin lalu maka mereka telah diterima bersama PH.
“Kita bincang petang ini. Yang dibangkit oleh DAP itu seorang (Datuk Norhizam Hassan Baktee) tetapi kita akan bincang.
“Kita punya pandangan, mengapa kita jemput mereka malam itu dalam majlis, kerana dia yang mengambil langkah untuk membawa perubahan di Melaka dan masa itu PH Melaka menyokong.
“Kita sekadar ucap terima kasih kepada mereka, wajarlah. Tetapi soal pilihan raya, soal lain pula,” katanya lagi.