Buatlah apa sahaja waktu berkuasa: Dulu tuju kepada Najib, sekarang kena pada Pas

 


“Buatlah apa sahaja waktu kita berkuasa. Sapu apa yang ada. Buat pekak saja apa orang hendak gelar. Apa yang penting anak pinak dan kroni kita kaya dan kenyang.”

Itu antara penegasan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad pada 28 Julai 2017 dalam hantaran di Facebook miliknya.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu kembali ‘dicungkil’ warganet ketika Pas lebih setahun berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Idris juga empat tahun lalu berkata, cadangan pembangkang akan ditolak ketika sedang berkuasa selain mana-mana pihak lawan politik ‘disumbat’ ke penjara dan akan disembur dengan gas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) apabila menyertai tunjuk perasaan.

“Siapa yang tidak undi kerajaan, ini pelampau kaum dan pelampau agama. Ini hujah apabila ada kuasa. Lebih-lebih lagi memang sudah lama berkuasa. Kalau boleh hendak mati sambil berdiri di dalam pejabat Perdana Menteri,” tempelaknya.

Walaubagaimanapun, apabila tidak ada kuasa, hujahnya, pelbagai kritikan dilakukan kepada orang yang sedang berkuasa kerana masalah peribadi bukan maslahat rakyat.

“Pada hal, ini semua produk yang dihasilkan oleh acuan yang sama. Acuannya ialah apabila berkuasa, bukan hendak laksanakan amanah kepada rakyat tetapi untuk tunjuk aku yang paling berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Idris yang tewas kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu menyifatkan begitu murah nilai politik di negara ini dengan perut sudah kenyang dan kroni sudah kaya.

“Sekarang berpesta pula maki hamun orang yang kita benci kerana masalah peribadi. Sewaktu berkuasa dahulu berapa ramai rakyat dizalimi. Berapa ramai kontraktor bankrap akibat pilih kasih?

“Berapa ramai kakitangan kerajaan tidak naik pangkat dan ditukar tempat kerja? Berapa banyak gas FRU yang disembur ketika demontrasi? Berapa ramai yang kena sepak ketika demo?” ujarnya.

Idris yang tahun ini beberapa kali memuatnaik gambarnya memasak dalam kumpulan Facebook, ‘Suami Masak Apa Hari Ini?’ (gambar atas) malah menganggap Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Umno sebagai “tidak risau dengan maki hamun yang dihambur sekarang”.

“Dia (Najib) sudah ada guru yang mengajarnya. Nanti apabila sudah tidak jadi Perdana Menteri, maka naik atas pentas pembangkang balun pemimpin yang sedia ada pada waktu itu.

“Ketika itu semua kesalahan selama ini akan suci seperti air mutlak, suci lagi menyucikan.

“Tidak perlu minta maaf dan mengaku kesilapan yang lampau. Akhirnya, rakyat yang paling malang. Negara tidak diurus dengan baik, hutang pula bertimbun,” katanya.

Dia yang awal tahun ini dijangkiti Covid-19 juga mengingatkan politik seperti itu akan mendatangkan musibah kepada anak kecil yang akan mewarisi negara.

“Betullah acuan baulu tidak akan hasil kuih kacang. Rakyat perlu tukar dasar, bukan orang. Kalau tidak, pi mai, pi mai tang tu ja. Sejahtera Bersama Islam,” tambah Idris lagi.

No comments: