Bila Ordinan Darurat dibatalkan, sudah dapat perkenan Agong, soal Anwar

 

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu menjelaskan mengapa tiada pemakluman tentang pembatalan ordinan darurat seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengisytiharan dan pembatalan sesuatu undang-undang merupakan perkara yang serius dan tidak boleh sewenang-wenangnya dibuat.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pembatalan ordinan tersebut telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana kerajaan mempersembahkan pengisytiharan darurat pada awal tahun ini.

“PM perlu beri penjelasan, kenapa pembatalan ordinan darurat tidak diumumkan.

“Perkara seperti ini harus dibentang secara hormat agar kita peraku atau bersetuju, tapi ini tidak berlaku. Saya agak gusar kita di tahap krisis perlembagaan.

“Saya tak pasti sama ada hal yang diumumkan menteri telah dipersembahkan atau diperkenankan (Agong) kerana tak disebut.

“Adakah pembatalan ini dibuat dengan mempersembah dan dapat perkenan Agong, itu saya belum pasti. Saya minta penjelasan.

“Kalau belum mendapat perkenan, pengumuman ini tidak boleh dibuat kerana ia boleh dianggap penghinaan kepada institusi Raja Melayu dan Agong,” tegasnya dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin berkata, kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat pada 21 Julai lalu.

“Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya.

Bagaimanapun hasil semakan, tidak ada warta baharu yang dikeluarkan di laman web Jabatan Peguam Negara mengenai pembatalan peraturan tersebut.

No comments: