PH dakwa Azhar bantu kerajaan tolak undian di Dewan Rakyat

 

Pakatan Harapan mendakwa Azhar Azizan Harun adalah alat eksekutif demi melaksanakan agenda mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membantu kerajaan menolak usul membahas Proklamasi Darurat dan ordinannya yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim serta seorang Ahli Parlimen DAP.

Jawatankuasa Perundangan PH turut mendakwa Azhar menyalahgunakan kuasanya dengan menolak usul Anwar dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

“Ini membuktikan beliau tidak mampu bertindak sebagai seorang Speaker tidak berpihak atau bebas yang mampu menjamin fungsi Parlimen sebagai platform semak dan imbang terhadap eksekutif.

“Tindakan-tindakan beliau ini membuktikan beliau hanyalah alat pihak eksekutif demi melaksanakan agenda mereka.

“Dalam keadaan ini, amatlah jelas dari tindakan Speaker bahawa kerajaan Perikatan Nasional sangat terdesak mengelakkan sebarang undian di dalam Dewan Rakyat dan Speaker menjadi ejen kerajaan untuk memastikan tidak akan ada sebarang pengundian dalam sidang khas ini,” katanya dalam kenyataan.

Mereka turut mendakwa tindakan Azhar menolak usul Anwar dan Ngeh bukan sahaja bermotif politik, tetapi juga melanggar hak dua Ahli Parlimen itu di bawah Perlembagaan.

“Hak untuk membawa usul mengungkai Proklamasi dan/atau ordinan adalah hak dalam Perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 150(3) dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.”

Memetik kenyataan Istana Negara bulan lalu, PH berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja mahu Parlimen bersidang semula dan memainkan peranannya sebagai semak dan imbang terhadap eksekutif.

Mereka berkata, Azhar jelas membelakangi hasrat dan maksud sebenar Agong serta Raja-raja dengan menolak usul Anwar dan Ngeh.

“Dengan melakukan sedemikian, Yang Dipertua Dewan Rakyat menunjukkan sekali lagi beliau tidak layak melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Beliau perlu mengingatkan dirinya bahawa beliau mengundang tindakan mendesak pengosongan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan tindakan salah ini.”

Sebelum ini, usul yang cuba dibawa Anwar ke sidang Parlimen ditolak Azhar dengan alasan notis untuk persidangan itu dikeluarkan pada 15 Julai, manakala usul diserahkan Ahli Parlimen Port Dickson itu tiga hari lebih awal, pada 12 Julai.