‘Saya rela ke penjara, tak mampu bayar denda ribuan ringgit,’ kata peniaga colek dikompaun RM50,000


Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah (tiga dari kiri) menemui Mohd Azizi Mohd Nor (tiga dari kanan) dan Wan Mohd Faisal Wan Kadir (dua dari kanan) ketika membuat rayuan terhadap kompaun RM50,000 di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu hari ini.

PETALING JAYA: Seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu, Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, disaman pada malam Ahad lalu, hari sama seorang peniaga burger, turut dikompaun RM50,000 atas kesalahan serupa di Kota Bahru.

Azizi berkata, beliau dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, didatangi beberapa anggota polis pada 11.20 malam kelmarin.

Tanpa banyak menyoal, mereka mengenakan kompaun RM50,000 kepadanya.

Azizi, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya, berkata ketika anggota polis itu tiba, beliau dan isterinya sedang mengemas bahagian dapur setelah kedainya ditutup pada 10 malam.

“Saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama,” katanya dipetik Berita Harian.

“Pada masa sama, saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak, memandangkan mereka belum tidur.”

Azizi yang bekerja sebagai mekanik turut membantu isterinya berniaga mee celup pada hari biasa, dan mempunyai lima anak yang masih bersekolah serta perlu menanggung tiga anak saudara.

“Ini kali pertama saya dikenakan kompaun, tetapi sudah dikenakan RM50,000.

“Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih rela memilih untuk masuk penjara.”

Azizi yang kebuntuan ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan terhadap kompaun itu.

“Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu.”

Malam kelmarin, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang menjual burger di depan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika PKP.

Peniaga berusia 38 tahun itu, didatangi lima pegawai polis kira-kira 11 malam, ketika menyiapkan tempahan untuk dihantar kepada pelanggan di sekitar rumahnya.

Hari ini, Faisal membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu supaya kompaun itu dibatalkan.

No comments: