Polis serbu pusat tahfiz dera pelajar, selamatkan 8 pelajar lain

 

Seorang bapa yang melawat anak lelakinya di sebuah sekolah tahfiz mendapati anaknya berada dalam ketakutan dan menangis.

PETALING JAYA: Seorang bapa yang datang melawat anaknya di sebuah pusat tahfiz di Ampang terkejut selepas mendapati anaknya yang berada di situ ketakutan dan menangis.

Bimbang perkara buruk menimpa anaknya, dia kemudian membawa anaknya pulang dan bertanyakan apa yang berlaku di pusat tahfiz berkenaan sehinggalah semuanya terbongkar.

Dia kemudian mendedahkan pasangan suami isteri yang menguruskan pusat tahfiz yang tidak berlesen itu mendera pelajar di situ.

Anaknya turut memberitahu penjaga tahfiz lelaki yang juga ketua pusat tahfiz berkenaan ada menumbuk di belakang tengkuknya serta merotan di kaki dan tangan manakala isterinya ada menampar di pipi sebanyak empat kali.

Pada badan kanak-kanak itu juga terdapat beberapa kesan kecederaan baru dan lama.

Bapa kanak-kanak berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Semalam, polis menyerbu pusat tahfiz berkenaan dan menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh dan 15 tahun. Pasangan suami isteri yang menjalankan pusat tahfiz berkenaan di Taman Tun Abdul Razak, sejak Oktober 2020 turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, penderaan itu dikesan selepas laporan polis dibuat terhadap pusat tahfiz berkenaan.

Kelapan-lapan pelajar yang diselamatkan juga turut mendakwa didera oleh pasangan berkenaan.

Semua kanak-kanak itu juga dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

“Semakan awal juga mendapati pusat tahfiz tersebut tidak mempunyai sebarang lesen dari kerajaan tempatan dan kebenaran dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” kata Farouk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments: