PdPR: Percepat bantuan komputer riba murid, insentif khas guru, gesa PH

 

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan menggesa kerajaan menyegerakan bantuan komputer riba kepada murid yang memerlukan, dan memberi insentif khas kepada guru bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pengerusinya, Maszlee Malik berkata, arahan melaksanakan PdPR adalah satu langkah wajar memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat.

Bagaimanapun katanya, ia harus diiringi dengan bantuan kemudahan PdPR untuk murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan.

“Langkah ini bagi memastikan proses PdPR yang akan dilaksanakan memberi keberkesanan yang maksimum kepada semua murid dan guru.

“Oleh itu, JK Pendidikan Pakatan Harapan menggesa kementerian pendidikan menyegerakan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 kepada semua golongan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan bersama Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Hasan Baharom (Amanah).

Dalam pada itu, wakil rakyat pembangkang itu menyeru guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran, supaya memanfaatkan platform Sophia.my sebagai antara alternatif sepanjang PdPR nanti.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Beliau berkata, sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.


No comments: