Peniaga rojak gagal ikut SOP dikompaun RM50,000: Jangan hukum rakyat secara zalim

 


Tindakan ke atas peniaga kecil-kecilan di Kelantan yang dikompaun maksimum RM50,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) terus mendapat kecaman rakyat Malaysia.

Terbaharu, rakyat mempertikaikan kompaun yang dikenakan ke atas seorang peniaga rojak (colek) di Kota Bharu yang didakwa lewat menutup perniagaannya.

Bagi Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, tindakan pihak berkuasa mengenakan denda maksimum seperti yang berlaku baru-baru ini hanya menyusahkan rakyat yang dalam kesempitan hidup, bukannya mengurangkan pandemik Covid 19.

"Sebelum ini heboh mengenai peniaga burger, berniaga kecil-kecilan di depan rumah didenda RM50,000. Terbaharu berniaga colek, depan rumah juga didenda RM50,000.

"Bagi saya ini cara kerajaan memberi hukuman kepada rakyat secara zalim. Dengan keadaan hari ini, dengan situasi Covid, rata-rata peniaga kecil menghadapi masalah besar dari segi ekonomi, tetapi kerajaan hanya pandai menghukum.

"Mereka ingat dengan menghukum kompaun RM50,000 adakah akan menyebabkan Covid turun?" katanya.

Menurut mantan Ketua Penerangan KEADILAN Kelantan itu lagi, tindakan kerajaan Perikatan Nasional hanya melambangkan lintang pukang pelaksanaan dasar

Katanya, kerajaan sepatutnya melaksanakan kempen yang lebih berkesan mengawal Covid, bukan mendenda tanpa amaran.

"Sepatutnya apa yang dilakukan ketika ini adalah sama-sama membantu rakyat yang tidak berkemampuan dan sama-sama memberi kesedaran.

"Kalau kita tengok, kompaun RM1,000 sebelum ini pun sudah cukup menyiksakan rakyat. Dengan kompaun itu saya rasa rakyat dah alert (tidak perlu ditambah jumlahnya)," katanya.

Bagaimanapun, Zinda menganggap kempen kompaun maksimum itu tidak akan berkesan selagi mana rakyat melihat menteri-menteri kerajaan PN mengikuti SOP berlainan dan berlakunya 'hukuman dua darjat'.

"Apa yang menyedihkan kita SOP hari ini ada darjat. Kita tengok yang kena tanpa diberi amaran, teguran, terus disaman RM50,000 itu orang biasa

"Golongan kayangan 'tidak nampak segala kesalahan langgar SOP'. Tetapi bila rakyat yang buat diberi kompaun maksimum," katanya lagi.

Baru-baru ini, Mohd Azizi Mohd Nor dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan didatangi beberapa anggota polis pada jam 11.30 malam.

Tanpa bertanyakan maklumat lanjut, kata mereka, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi melebihi had masa.

 

No comments: