PAS berlakon jadi pembangkang, desak kerajaan PN lebih serius tangani kenaikan harga barang

 


PAS berlakon jadi pembangkang, desak kerajaan PN lebih serius tangani kenaikan harga barang

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih serius menangani isu kenaikan harga barangan pengguna seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran yang dilaporkan meningkat secara mendadak.

Menurutnya, kerajaan masih perlu memberikan perhatian walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 pada 21 April lalu.

“Itu termasuklah dengan memikirkan suatu mekanisma yang efisyen sebagai jalan penyelesaian kepada kos penternakan yang turut meningkat.

“Kerajaan perlu lebih tegas dan mengawal harga barangan pada setiap rantaian bekalan supaya tindakan mengenakan harga maksimum tidak terbeban kepada satu-satu pihak sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak kerajaan membuat pemantauan dan pemerkasaan secara menyeluruh bermula dari pembekal dan pemborong sehinggalah kepada peniaga yang terakhir.

Idris mengakui tindakan berkenaan memerlukan usaha berterusan kerajaan termasuk pihak kementerian untuk turun padang namun solusi terbaik akan dapat dihasilkan demi kepentingan semua pihak.

“Selain itu, amaran dan hukuman setimpal wajar dilaksanakan kepada pelaku yang tidak bertanggungjawab agar menjadi pengajaran berguna kepada orang lain terutama ketika rakyat dan negara ini masih dalam fasa meningkatkan taraf ekonomi masing-masing,” katanya. 


No comments: