Gaji rendah graduan siswazah: Potong gaji menteri selamatkan ekosistem pekerjaan - Dr Zaliha

 


POSTED BY AMIR WRLR


Kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bahawa lebih baik gaji siswazah dibayar rendah daripada menganggur dibidas Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Zaliha Mustafa.

Menurut Dr Zaliha, tidak sepatutnya Menteri Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kementerian mesti berpandukan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang meletakkan had gaji tertentu dan memastikan majikan mematuhinya.

"Saya amat kesal dengan pernyataan Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan apabila beliau seolah-olah berlepas tangan menyatakan paras gaji permulaan siswazah yang rendah bukan pendirian kerajaan, bahkan ia adalah persetujuan antara dua pihak iaitu majikan dan pekerja. Katanya lagi, itu adalah lebih baik daripada membiarkan siswazah itu menganggur.

"Sebagai seorang Menteri beliau seharusnya memastikan Akta Kerja 1955 (Akta 265) itu dipatuhi Majikan demi memastikan ekosistem penggajian pekerja lebih terjamin bagi mengelakkan majikan daripada berbuat sesuka hati dan mengambil kesempatan ke atas upah yang seharusnya dibayar kepada pekerja, apatah lagi terhadap graduan siswazah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Zaliha lagi, sepatutnya menteri memikirkan penyelesaian gaji murah sebagaimana laporan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang melaporkan majoriti golongan lepasan siswazah di negara ini menerima gaji antara RM1,001 hingga RM 1,500, bukan sebaliknya membela majikan.

"Sungguh mengejutkan laporan gaji dikeluarkan DOSM kerana ia kurang daripada apa yang saya sendiri terima ketika saya mula bekerja lebih 30 tahun dahulu.

"Mana mungkin pada graduan dapat meneruskan kehidupan perorangan apatah lagi keluarga, apabila kos sara hidup harian atau bulanan melebihi daripada apa yang mereka perolehi," katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan lebih baik gaji menteri yang berpuluh ribu ringgit sebulan itu dipotong atau jawatan Timbalan Menteri dihapuskan bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor awam, bagi diisi golongan lepasan Institusi Pengajian Tinggi dan boleh diberi gaji secukupnya.

"Saya mencadangkan potongan gaji kepada Menteri, Timbalan Menteri mahupun Duta tahap Menteri yang mencecah puluhan bahkan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

"Bahkan hapuskan sahaja posisi Timbalan Menteri yang tidak kelihatan pun fungsinya dan kembalikan kedudukan GLC kepada yang selayaknya.

"Ini semua bakal membuka ruang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan penjawat awam yang bukan sahaja menyumbang kepada kekurangan sumber manusia bahkan juga kecekapan pentadbiran kerajaan daripada wang rakyat disalah gunakan untuk memenuhi tembolok kerakusan beberapa orang “political master”," katanya lagi.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata lebih baik mendapat gaji rendah atau bekerja sementara daripada menganggur dan ungkapan beliau itu dikritik oleh para netizen di ruang maya.

“Daripada menganggur, lebih baik sekiranya bekerja dengan mendapat gaji harian dalam tempoh masa tertentu atau secara separuh masa,” katanya dipetik.