Pas akan tumbang jika berlaku penjajaran politik di Kelantan

 


POSTED BY AMIR WRLR

Pas tidak akan mampu mempertahankan kerajaan negeri yang dipimpinnya sejak 30 tahun lalu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sekiranya berlaku penjajaran baharu politik di Kelantan.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, sekiranya Umno boleh dirundingi untuk kerjasama pilihan raya (election pact) maka tidak mustahil pentadbiran Pas boleh diganti.

"Kalau KEADILAN cuba membuat jajaran baru dengan Umno, sebenarnya ia satu kelebihan besar di Kelantan

"Di peringkat awal ada ura-ura menyatakan Umno akan bekerjasama dengan kita (KEADILAN), jadi kita di peringkat akar umbi pun mencuba buat kerjasama tersebut sebenarnya.

"Di Kelantan, mengikut beberapa siri perjumpaan bersama (Umno) sebelum ini mereka memberikan tanda positif," katanya.

Mengulas mengenai hubungan Pas dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN), mantan Ketua Penerangan KEADILAN Kelantan itu berkata, kedua-dua parti itu seolah-olah tidak mempunyai hubungan rasmi sejak MN ditubuhkan pada 2019.

Menurutnya, MN hanya berfungsi di peringkat pimpinan lebih tinggi atau di peringkat nasional, sedangkan di akar umbi tidak kelihatan kerjasama yang signifikan.

Selepas Perhimpunan Agung Umno dan parti itu mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu, katanya, keadaan menjadi lebih dingin dan tidak mustahil hubungan Umno - Pas di Kelantan dalam keadaan retak menanti belah.

"Daripada segi hubungan, saya tengok antara Pas dan Umno, saya rasa sudah semakin retak dalam Muafakat Nasional

"Pas kita tengok lebih pro kepada Bersatu dan saya tidak yakin hubungan di dalam MN akan kekal

"Saya rasa Pas akan tumbang dekat sini (Kelantan) dalam PRU ke 15," katanya lagi.

Zinda juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertandingan pelbagai penjuru di antara parti-parti besar seperti PN, PH dan BN serta parti-parti kecil tempatan, yang memerlukan Pakatan Harapan mencari rakan strategik untuk menjamin kemenangan dan mengambilalih teraju pemerintahan negeri.

 

No comments: