Bersatu dan PAS bincang kerusi tanpa UMNO di Terengganu

 

Bersatu dan PAS bincang kerusi tanpa UMNO di Terengganu


Bersatu akan berbincang dengan Pas mengenai pembahagian kerusi Parlimen di Terengganu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Terengganu itu berkata, tiada sebarang perbincangan akan dilakukan dengan UMNO susulan keputusan parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“UMNO dah lock (kunci pintu), lebih mudah kita bincang dengan dua pihak berbanding dengan tiga pihak,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika ditemui pemberita selepas melancarkan inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan di Pasar Tani Putrajaya, di sini pada Selasa.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen, dengan enam daripadanya dimenangi Pas pada PRU14 iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

UMNO menang dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Parlimen Hulu Terengganu berpindah menjadi milik Bersatu setelah Rosol mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Bersatu.

Ditanya adakah beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15, Rosol berkata: “Jika pucuk pimpinan kata bertanding, saya bertanding, jika kena tarik diri, saya akan tarik diri.” 






No comments: