AHLI PARLIMEN BINTULU PERLU MOHON MAAF


Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen (MP) Bintulu, YB Tiong Kang Sing ketika perbahasan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat semalam, yang menyifatkan Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham sebagai “takut mati” adalah satu kenyataan yang dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Saya menggesa agar satu permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh YB Tiong Kang Sing bagi memperbetulkan kesilapannya, yang telah mengundang pelbagai reaksi serta kemarahan daripada orang ramai.

Ketika perbahasan semalam, MP Bintulu telah mengeluarkan kenyataan tersebut atas alasan kerana Dr Noor Hisham tidak turun sendiri ke Sabah bagi menangani penularan Covid-19 yang terus mencatatkan bilangan kes yang tinggi dari hari ke hari.

Umum mengetahui bahawa Dr Noor Hisham adalah watak utama yang telah bekerja keras, siang dan malam bersama para ‘frontliners’ bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dengan jayanya di Malaysia.

Beliau telah mempamerkan etika kerja dan tahap profesionalisme yang sangat baik sepanjang negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sejak bulan Mac yang lalu.

Sebaliknya, MP Bintulu seharusnya mempersoalkan apakah peranan yang dimainkan oleh Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menterinya yang mana setakat ini tidak menunjukkan sebarang gerak kerja dan sumbangan yang signifikan bagi membantu menangani pandemik Covid-19.

MP Bintulu juga harus sedar bahawa penularan gelombang ketiga Covid-19 yang bermula dari Sabah adalah disebabkan kerakusan kerajaan Perikatan Nasional berpolitik sehingga menyebabkan Pilihanraya Negeri terpaksa diadakan, seterusnya membawa kepada situasi yang sedang kita lihat pada hari ini.

Oleh yang demikian, saya berharap MP Bintulu dapat segera membuat permohonan maaf dan mengambil pengajaran daripada kejadian ini.

Menangani pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama seluruh anggota masyarakat, dan tidak wajar diletakkan kepada seseorang individu semata-mata. Saya berdoa agar seluruh jentera ‘frontliners’ terus diberikan kekuatan bagi menangani wabak Covid-19 di Malaysia.

Sama-samalah kita patuhi SOP dan sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri yang baik.

12.11.2020

AKMAL NASIR

Ahli Parlimen Johor Bahru

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

No comments: