AGAKNYA ISU SEBENAR BAGI PAS HANYALAH SOKONG SAJA APA YANG PM SUKA…

 

Kalau memperjuangkan lanjutan moratorium lanjutan selama enam bulan lagi dan membenarkan pengeluaran sebanyak RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP bukan isu sebenar, apa dia isu yang sebenarnya di ketika pandemik Covid19 melanda ini?

Dalam isu moratotium dan KWSP, sedarkah Pas bahawa ia sama sekali tidak melibatkan sebarang pertambahan dana daripada kerajaan, sebaliknya hanya kebenaran atau kelulusan kerajaan saja yang diperlukan.

Duit dalam KWSP adalah wang rakyat atau pencarum sendiri, manakala moratorium pula hanyalah penangguhan sementara daripada membuat pembayaran di mana selepas tempoh enam bulan itu berakhir nanti, pembayaran akan disambung semula.

Di mana datangnya kerajaan ada rugi apa-apa?

Setidak-tidaknya dengan dua kelulusan itu, rakyat mempunyai lebih keselesaan untuk berbelanja di musim Covid19, selain secara langsung dapat membantu merancakkan pemulihan ekonomi negara.

Itu pun susah ke Pas nak faham untuk memberi sokongan dan melihatnya sebagai isu yang benar-benar realiti bagi rakyat?

Habis, apa isu sebenar bagi Pas?

Apakah memberi peruntukan RM85.5 juta kepada JASA bagi tujuan propaganda politik suatu isu sebenar bagi Pas ketika Covid19 melanda?

Begitu juga, apakah memberi peuntukan RM8.5 juta untuk NGO Penggerak Komuniti Negara yang sah bersifat politik kepartian turut merupakan isu sebenar?

Kerana itukah Pas hanya berdiam diri terhadap kedua-dua peruntukan politik di atas, walaupun suara kemarahan rakyat begitu membara menolaknya?

Yang lebih penting, apakah juga terus menyokong Muhyiddin Yassin selagi beliau berjawatan Perdana Menteri agar pimpinan Pas terus dapat nikmat jawatan dalam kerajaan, itu merupakan isu yang sebenar bagi sebuah parti Islam?

Mentang-mentang Muhyiddin macam keberatan untuk meluluskan dua perkara tersebut, tambahan pula Anwar Ibrahim dan Najib Razak begitu gigih memperjuangkannya, maka Pas hanya ambil jalan mudah dengan memihak kepada yang ada kuasa semata-mata.

Habis, nasib rakyat yang susah bagaimana?

Apakah jawapan yang ada dalam kepala pimpinan Pas selepas selesa dengan nikmat jawatan sekarang ini – Aku Peduli Apa?

 (Shahbudindotcom 13/11/2020)



No comments: