Perbahasan Belanjawan 2021: Apa yang bakal berlaku, diluluskan atau tidak?

 

Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh




Sidang parlimen kali ini menjadi tumpuan rakyat dan negara kerana adanya Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021. Ia berlatarbelakangkan krisis Covid-19, krisis ekonomi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang punyai majoriti tipis dan cabaran terhadap majoriti tersebut oleh Yang Berhormat Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hal ini tambah mengujakan ekoran daripada kegagalan kerajaan PN untuk menguatkuasakan darurat dan kemudiannya, titah nasihat daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong supaya ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh Covid-19.

Belanjawan paling sukar

Justeru ini boleh dikatakan Belanjawan yang paling sukar untuk diunjurkan dan dipertahankan melainkan jika ada timbal balas daripada kerajaan terhadap syor daripada pembangkang mahu pun penyokong kerajaan.

Saya ingin mengambil kesempatan ruangan ini untuk menjelaskan aturcara proses perbahasan dan kelulusan bagi Belanjawan 2021 supaya boleh difahami dengan mudah oleh rakyat.

Umum telah ikuti bahawa Belanjawan 2021 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November lalu. Daripada sekarang hingga sekitar 25 November (sekitar 8 hari), wakil-wakil rakyat akan membahaskan belanjawan tersebut di peringkat dasar.

Ini bermaksud wakil rakyat boleh membahaskan perkara-perkara dasar berkaitan Belanjawan tanpa merujuk kepada mana-mana butiran. Contohnya, seseorang wakil rakyat boleh membahaskan berkenaan falsafah dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2021. Juga yang terkait dengan angka-angka unjuran hasil dan ekonomi serta jumlah perbelanjaan yang mungkin besar atau kecil bagi sesebuah kementerian. Isu-isu di kawasan juga boleh dibangkitkan.

Perhatian tertumpu kepada ucapan perbahasan sama ada seseorang wakil rakyat itu menyokong, menolak atau menyokong dengan syarat, Belanjawan 2021. Umpamanya Anwar dalam ucapan perbahasannya menyatakan hanya akan sokong kalau ia benar-benar Belanjawan Covid-19. “Dalam keadaan sekarang terlalu banyak persoalan, unjuran, peruntukan Covid-19, pemindahan wang dan peruntukan pembangunan yang bukan jadi keutamaan,” tambahnya.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN), Najib Razak pula berkata, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membuat pendirian sokongan mereka ke atas Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat. Syarat itu ialah kerajaan perlu meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off dan moratorium dilanjutkan hingga Jun 2021.

Belanjawan boleh dipinda

Ia kemudian akan dijawab oleh Menteri Kewangan semasa sesi penggulungan sebelum Dewan Rakyat mengundi untuk kelulusan di peringkat dasar. Pada ketika ini Menteri Kewangan boleh mengulas kritikan, teguran dan cadangan wakil rakyat. Malah Menteri boleh membuat usul pindaan belanjawan untuk dibawa dalam perbahasan dan kelulusan peringkat jawatankuasa.

Pengundian boleh dijalankan dengan suara sama ada bersetuju atau tidak iaitu sekiranya lebih suara bersetuju maka masalah (dalam konteks ini Belanjawan 2021 peringkat dasar) adalah diluluskan. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 46.

Tetapi jika ada daripada kalangan wakil rakyat seramai 15 orang atau lebih yang bangun meminta untuk diadakan belah bahagian maka Yang Dipertua (atau dipanggil Pengerusi ketika peringkat Jawatankuasa) hendaklah memerintahkan diadakan belah bahagian.

Dalam belah bahagian ini penghitung undi hendaklah bertanya kepada setiap wakil rakyat sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau tidak mahu mengundi. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 47.

32 kali undian

Sekiranya diluluskan maka sesi perbahasan peringkat jawatankuasa pula akan menyusul. Dalam sesi ini, wakil rakyat akan membahaskan butiran belanja mengurus dan pembangunan bagi setiap Kementerian. Ini dijadualkan berlangsung selama 8 hari. Setiap kali selesai satu kementerian, ia akan diikuti dengan jawapan Menteri dan undian untuk kelulusan.

Sekali lagi proses undian boleh berlaku seperti semasa peringkat dasar. Bezanya ialah proses ini boleh berlaku sebanyak 32 kali memandangkan terdapat sebanyak 32 kementerian di bawah kerajaan sekarang. Masing-masing wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu bersedia pada setiap masa apabila proses undian berlaku.

Begitulah prosesnya. Apa yang benar-benar bakal berlaku hanya akan diketahui apabila tiba masanya. Sebab itu kehadiran wakil rakyat amat penting terutamanya dalam proses undian. Had 80 orang wakil rakyat pada satu satu masa yang diputuskan oleh dewan tidak terpakai ketika proses undian. Semua wakil rakyat dibenarkan masuk ke dewan ketika proses undian.

Perdana Menteri hilang sokongan

Kegagalan sokongan terhadap Rang Undang-undang Perbekalan atau Belanjawan 2021 ini boleh mengakibatkan kegagalan pengaruh dan keyakinan kepada Perdana Menteri maka ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti.

Apabila ini berlaku maka Perdana Menteri tidak ada pilihan lain selain meletakkan jawatan dan/atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Persoalannya, apa akan jadi kepada Belanjawan 2021? Apakah kerana tidak diluluskan maka tiada peruntukan untuk emolumen penjawat awam, menangani ancaman wabak Covid-19, kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi?

Belanjawan baharu boleh diluluskan

Saya percaya bukan itu yang akan berlaku meskipun Perdana Menteri ada menggambarkan bahawa rakyat akan teraniaya jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Amatlah wajar sekiranya berlaku peralihan kerajaan maka Belanjawan 2021 perlu dibawa semula dengan kadar segera dan sekurang-kurangnya perbelanjaan yang utama boleh diluluskan sementara perbelanjaan lain boleh diluluskan sebagai perbelanjaan tambahan pada tahun 2021.

Apa pun keadaan, memang benar bahawa kerajaan dan wakil rakyat daripada kedua-dua belah pihak wajib meletakkan keutamaan bagi ancaman wabak Covid-19 dan merancakkan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Bukan kepada kepentingan kuasa dan politik semata-mata.

__________________________________________________________________________________



Penulis merupakan Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor

 

No comments: