MUHYIDDIN. JADILAH LELAKI SEJATI DAN PUNYA MARUAH DAN HARGA DIRI

 

Secara prinsip dan dari sudut moral, Muhyiddin Yassin ketika ini sudah pun hilang sokongan majoriti untuk terus duduk di kerusi empuk sebagai Perdana Menteri.

Bukan saja makhluk di bumi tahu mengenainya, malah penghuni di langit pun menyedari hakikat itu.

Dalam hal ini, Muhyiddin sepatutnya malu kepada dirinya sendiri kerana masih lagi selamba buat muka tahu.

Beradanya lagi beliau sebagai Perdana Menteri hanyalah semata-mata kerana kemelut ini belum dimuktamadkan pengakhirannya berikutan adanya perintah PKPB sehingga Agong terpaksa menangguhkan majlis mengadap ketua-ketua parti yang sepatutnya berlangsung minggu lalu.

Nampaknya dua kali wabak Covid19 dijadikan perisai oleh Muhyiddin untuk beliau berlindung, pertama dulu melalui PKP Mac lalu dan kini melalui PKPB.

Tetapi, dengan berulangnya Covid19 sekali lagi, malah dengan kes lebih tinggi, Muhyiddin harus sedar doa yang dibacanya dan diulang-ulang di TV selama ini telah tidak dimakbullan Tuhan.

Agaknya, doa itu tidak dimakbulkan bukan saja kerana naiknya beliau sebagai Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan, tetapi juga disebabkan duduknya beliau di kerusi itu tanpa memiliki sokongan majoriti yang sepatutnya.

Tidak memiliki sokongan majoriti, bermakna tidak sah menjadi Perdana Menteri.

Apabila tidak sah, ia tidak ubah macam memakai pakaian curi tetapi duduk bersimpuh di atas sejadah menadah tangan memohon kebaikan daripada Tuhan.

Jangan lupa, Tuhan maha melihat dan mengetahui segala apa yang berlaku di dunia ini dan selalulah sedar diri bila malapetaka terus berlaku lagi.

Untuk itu, walaupun Muhyiddin barangkali boleh terus bertahan beberapa ketika mempertahankan kerusi empuknya, beliau seharusnya menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, budiman dan bermaruah.

Dengan semakin hari terdedah satu demi satu Ahli Parlimen dalam PN tidak lagi menyokongnya, beliau tidak sepatutnya menunggu kedudukan majoriti pemimpin lain dimuktamadkan oleh Agong dan beliau dinasihatkan berundur, baru mahu melepaskan jawatannya.

Ini kerana semakin masa berlalu, kemelut ini semakin berat, sarat dan merimaskan, sekaligus membuatkan rakyat lebih tertekan serta bosan.

Maka, jadilah seorang yang bertanggungjawab dan tidak berterusan menyusahkan rakyat, sekaligus memudahkan kerja Agong.

Tiada apa yang mampu dipertahankannya lagi sekarang ini, semuanya sudah semakin jelas dan terang.

Ibarat isteri sudah mula mencerca dan bercakap macam-macam mengenainya di belakang, termasuk menghina, apakah Muhyiddin mahu terus menjadi lelaki dayus untuk mempertahankan lagi rumahtangganya?

Sama seperti dalam kemelut rumahtangga apabila isteri sudah hilang kepercayaan dan kasih sayang, maka lelaki sejati pasti akan memilih jalan cerai sebagai pilihan paling wajar, begitu juga apabila sudah hilang sokongan majoriti dalam kerajaan, meletak jawatan adalah jalan yang terbaik sekali.

Kemelut ini tidak boleh terus dibiarkan berpanjangan dan berilah peluang kepada pemimpin lain yang ada majoriti pula memimpin negara ini.

Jika lelaki dayus dianggap lelaki paling hina, belum terlambat untuk Muhyiddin menyelamatkan maruahnya daripada terus dicerca kerana terus tidak malu jadi Perdana Menteri, walaupun sokongan telah tiada lagi.

Lagi pun, lebih lama bertahan, bukan menyebabkan rakyat bertambah suka, sebaliknya makin benci dibuatnya.

Muhyiddin, lihatlah sekeliling dan segeralah ambil kertas serta pen untuk menulis surat berhenti sebagai Perdana Menteri kerana maruah jauh lebih penting daripada jawatan. (Shahbudindotcom 18/10/2020)