Pertubuhan memperjuangkan kebebasan
media, Gerakan Media Marah (Geramm) membantah campurtangan kerajaan Perikatan
Nasional (PN) menghalang agensi selain yang dibenarkan membuat liputan sesi
Parlimen 2 November hingga 23 Disember ini.
Menurut Geramm, hanya 15 organisasi
media dibenar beroperasi mewakili 14 agensi tempatan dan satu agensi
antarabangsa yang dipilih dengan alasan untuk mematuhi prosedur operasi
standard bagi mengekang penularan wabak Covid-19, adalah tidak masuk akal.
"Lebih malang lagi, senarai
tersebut tidak melibatkan mana-mana portal online tempatan untuk hadir membuat
liputan di sidang parlimen yang turut merangkumi pembentangan Bajet 2021.
"Setiap agensi selain RTM dan
Bernama hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar
atau juru video, serta diwajibkan menjalankan ujian saringan Covid-19 sebelum
bertugas.
"Dengan tetap mengambil kira
kepentingan menjaga keselamatan semua pihak, terutama #kawangeramm di
lapangan, Geramm tegas membantah sebarang tindakan yang dilihat sebagai sekatan
ke atas kebebasan media dalam menjalankan tugas.
"Sebaliknya, kami menyeru pihak
bertanggungjawab bagi membantu memudahkan urusan media bertugas dengan
menyediakan ruangan lebih luas di Parlimen untuk memenuhi prosedur penjarakan
fizikal," kata kenyataan berkenaan.
Bagi Geramm, sesi kali ini yang
melibatkan pembentangan Belanjawan 2021 memerlukan wartawan bertanya kepada
Ahli-ahli Perlimen mengenai peruntukan-peruntukan yang diagihkan.
Begitu juga perbahasan hangat
meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 perlu
dilaporkan secara bebas.
"Media berperanan penting untuk
menyoal perancangan yang telah dirangka menggunakan wang rakyat.
"Oleh itu adalah amat penting
bagi pihak pengurusan Parlimen membuka ruang yang luas kepada semua organisasi
media untuk hadir membuat liputan .
"Geramm menyeru agar larangan
pergerakan yang dikenakan kali ini tidak akan dijadikan alasan oleh mana-mana
Ahli Parlimen atau menteri untuk mengelak dari menjawab apa-apa persoalan yang
timbul.
"Antara peranan utama media
adalah untuk 'menjaga kerajaan' agar tetap berperanan mengikut lunas
undang-undang dan tidak melampaui batas. Sebaliknya kerajaan tidak perlu
'menjaga media' kerana 'media jaga media'!" kata kenyataan itu lagi.
Geramm dengan itu mengumumkan bersolidariti dengan media-media
yang didiskriminasi oleh kerajaan Perikatan Nasional.