PRK SABAH UJI KESETIAAN PAS.PILIH LOGO DACING ATAU PN


Hubungan rasmi Pas dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) telah terjalin hampir dua tahun yang lalu iaitu sebaik BN kalah PRU14.
Hubungan Pas dengan Bersatu pula hanya terjalin kira-kira enam bulan lalu iaitu sejak tertubuhnya kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional atau PN.
Tetapi, barangkali kerana Perdana Menteri adalah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, Pas nampaknya lebih condong kepada Bersatu berbanding UMNO, walaupun UMNO lebih dulu dipeluknya.
Sementara UMNO enggan menyertai PN secara rasmi, Pas sebaliknya menyerah sepenuh jiwa raganya untuk bersama Bersatu dalam PN.
Begitu pun, Pas masih berada dalam MN dan sejak awal ternampak begitu bersungguh untuk membawa Bersatu sama ke dalam MN.
Menjelang PRN Sabah, 26 September depan, sebelum diumumkan PN akan menggunakan lambangnya sendiri, Pas mengatakan ia tiada masalah untuk menggunakan lambang dacing dalam pilihanraya tersebut.
Presiden Pas, Hadi Awang berkata, pihaknya bersikap terbuka dalam hal tersebut.
Kini, berikutan UMNO dan komponen BN telah memutuskan tetap akan menggunakan lambang dacing dalam PRN Sabah dan PN pula dengan lambangnya sendiri, kedudukan Pas tentu saja menjadi tanda tanya.
Ini kerana Pas secara rasmi berada dalam PN bersama dengan Bersatu, STAR dan SAPP serta dalam masa yang ada muafakat rasmi dengan UMNO dalam MN.
Dalam majlis pelancaran logo PN di Kota Kinabalu semalam oleh Hamzah Zainuddin untuk menghadapi PRN Sabah, turut hadir adalah
Presiden STAR, Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP, Yong Teck Lee, Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Dengan perkembangan ini, apakah logo yang akan digunakan oleh Pas dalam PRN Sabah nanti?
Apakah Pas akan menggunakan logo PN atau masih dengan kenyataan asal tiada masalah menggunakan lambang dacing?
Agak-agaknya di mana kesetiaan Pas dalam hal ini? 

(Shahbudindotcom 10/09/2020)

No comments: